Kes perbicaraan berprofil tinggi antara pesohor Johnny Depp dengan mantan isterinya, Amber Heard menjadi semakin hangat.

Satu persatu sikap buruk dan kasar aktres tersebut dibongkar termasuk penipuannya yang mendakwa dikasari oleh Depp sepanjang berkahwin.

Depp dalam keterangan di mahkamah mengaku Heard sebagai wanita yang bijak memanipulasi dan tidak pernah mengasarinya turut mendakwa aktres tersebut pernah curang terhadapnya.

Beliau percaya Heard pernah menjalin hubungan bersama aktor James Franco.

Sementara itu kes Depp dan Heard yang pernah dilabelkan sebagai pasangan idola ini turut mendapat perhatian meluas bukan sahaja dalam kalangan peminat, namun karyawan seni sendiri.

Salah seorang yang percaya Heard adalah wanita kejam adalah model Ireland Baldwin. Menerusi laporan DailyMail.uk, Ireland melabelkan Heard sebagai bencana dan manusia kejam.

Menerusi pendapat yang diberikan di media sosial, Ireland, 26, mengaku kenal dengan sikap wanita seperti Heard yang bijak memanipulasi keadaan dan menjadi mangsa.

“Saya kenal benar dengan wanita yang jenis seperti ini. Mereka bijak memanipulasi dan sangat dingin.

“Mereka selalu menggunakan sikap kewanitaan sebagai perisai dan bermain seperti mangsa keadaan sehingga membuat dunia percaya lelaki adalah makhluk terburuk di dunia.

“Hakikatnya, lelaki juga boleh mengalami penderaan dan dia adalah seorang wanita kejam serta bencana.

“Saya berharap Depp mendapatkan semula kehidupan dan reputasinya,” tulis Ireland panjang lebar.

Terdahulu, Depp menyaman Heard dengan dakwaan antaranya wanita tersebut memfitnah dirinya dikasari dan aktor itu hilang kepercayaan sekaligus membuat kerjayanya merudum di Hollywood kerana dilabelkan sebagai lelaki jahat.