Filem
Dinda Dania Gunakan Seratus Peratus Suara Husky Untuk Watak Arnab
Pelakon suara watak Arnab yang juga penyanyi lagu Hoo La Hey iaitu Dinda Dania memberitahu ini merupakan pengalaman pertamanya yang memerlukan dia untuk berlakon dengan hanya merakam suara.
Pelakon berfigura kecil molek ini juga akui, dia sedikit takut dengan apa yang perlu dilakukannya itu.
BERITA BERKAITAN: Dongeng Sang Kancil Mengimaginasikan Semula Karakter Popular Cerita Rakyat Dalam Sentuhan Moden
BERITA BERKAITAN: Les' Copaque Production Berdepan Cabaran Hasilkan Filem 'Dongeng Sang Kancil" Kurang Dua Tahun
Bagaimanapun, melihat sebagai cabaran dan ingin menampilkan sisi berbeza pada lakonannya, Dinda tidak pernah mengalah untuk menampilkan yang terbaik.
"Filem terbitan Les Copaque ini memang memberi cabaran terbesar bagi Dinda.
“Sebab ini kali pertama Dinda perlu rakam suara dalam lakonan. Dinda sebenarnya takut sebab memang tidak pernah langsung ada pengalaman sebegini.
"Tetapi semuanya berjalan lancar," ringkasnya kepada Gempak.
Bagaimanapun Dinda menjelaskan, dia amat bertuah kerana watak arnab yang memerlukan suara yang besar atau husky digunakan sepenuhnya oleh suaranya sendiri tanpa perlu mengubah banyak intonasi.
"Watak arnab ini sebenarnya menampilkan seeokor haiwan yang comel dan mesti orang fikir suara arnab ini halus-halus.
"Tetapi dalam 'Dongeng Sang Kancil' Ini watak arnab perlu suara besar dan husky (serak basah). Sama macam suara Dinda.
"Jadi disini untuk suara arnab ia agak mudah sebab seratus peratus guna suara Dinda yang anda dengar sekarang,’ katanya.
Dalam berdepan cabaran melakukan suara watak dalam 'Dongeng Sang Kancil', Dinda juga menyifatkan emosi yang perlu dibawakan juga sangat besar untuk memastikan dia mampu menjiwai watak yang diberi.
" Untuk Dinda sendiri, Dinda perlu ada emosi yang begitu besar seperti mana besarnya pergerakan animasi ini. Itu penting,’’ ringkas Dinda.
Watak arnab dalam ‘Dongeng Sang Kancil’ merupakan salah satu kawan kepada Kancil.
Arnab yang dilihat sering lari daripada sesuatu yang berbahaya, namun dari sudut pandang yang lain binatang berkenaan akan sedaya upaya mempertahankan haknya.
Kancil merupakan seekor haiwan yang baik hati dan sering dilihat pemangsa sebagai seekor haiwan yang lemah.
Dek kerana itu, pemangsa-pemangsa sering terpedaya dengan tipu muslihat Kancil.
Oleh kerana tindakannya yang licik dan di luar jangkaan untuk mengalahkan musuh, Kancil terkenal di hutan sebagai haiwan yang bijak.
'Dongeng Sang Kancil' bakal ditayangkan di pawagam bermula hari ini.
‘Dongeng Sang Kancil’ menjadi satu-satunya filem animasi tempatan yang temui penonton di pawagam dan ia mengisahkan tentang seekor Kancil bertekad membalas dendam atas kematian ibunya yang dibunuh kejam oleh Bayang Hitam.
Dengan bimbingan Gagak, Kancil memulakan pengembaraan penuh cabaran, berhadapan tiga pemangsa hebat: Helang Perkasa di langit, Gajah Belukar di daratan, dan Raja Buaya di sungai.
Dalam usahanya, dia perlu mengatasi setiap rintangan untuk menuntut keadilan.
Namun, ancaman semakin besar apabila Bayang Hitam mengalihkan sasarannya ke Hutan Rimba, menggugat seluruh kehidupan binatang di dalamnya.
Kancil mesti bertindak sebelum semuanya musnah.