Dua hari selepas Shuib Sepahtu dipanggil pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terkait penggubahan wang haram, pihak peguam yang mewakili pelawak itu, Muhammad Fadhli M. Sutris, Fadhli Sutris & Associates tampil memberi penjelasan sebenar pemberitaan yang sempat menghebohkan negara itu.

Melalui pihak pengurusan Shuib dan Siti Sarah, Indigital Music, pihak peguam Shuib menegaskan, anak guamnya tidak pernah ditahan reman oleh pihak SPRM.

"Ingin kami sahkan di sini bahawa anakguam kami tidak pernah ditahan reman oleh pihak SPRM mahupun terdapat sebarang permohonan reman dibuat keatas anakguam kami memandangkan kehadiran beliau di Pejabat SPRM hanyalah untuk memberi keterangan sahaja.

"Anakguam kami telah memberikan kerjasama penuh kepada pihak SPRM sepanjang keterangan beliau diambil.

"Untuk makluman rakaman keterangan beliau telah diambil dan selesai pada hari yang sama. Beliau kemudiannya telah dibenarkan pulang setelah selesai proses tersebut manakala kehadiran Puan Siti Sarah hanyalah untuk menemani suami beliau sahaja," tulis keterangan yang dikirimkan kepada Gempak melalui WhatsApp pada petang Sabtu tadi.

Fadhli turut menegaskan tiada sebarang tangkapan mahupun permohonan reman dibuat terhadap kedua-dua anakguam seperti yang telah dilaporkan beberapa media sebelum ini.

"Kesemua kenyataan yang bertentangan dan tular adalah tidak benar sama sekali," katanya.

Buat waktu ini, Fadhli juga tidak membenarkan anakguamnya memberi sebarang kenyataan untuk menghormati proses perundangan negara.

"Seperti yang telah kami nasihatkan dan untuk menghormati proses perundangan negara, anakguam mahupun pihak pengurusan mereka tidak digalakkan untuk mengeluarkan sebarang kenyataan berkaitan perkara tersebut.

"Perkara ini amatlah penting bagi mengelakkan sebarang gangguan terhadap siasatan yang sedang dijalankan oleh pihak SPRM," lanjut Fadhli.

Terdahulu pada 1 Oktober 2020, media massa melaporkan pasangan suami isteri dan selebriti yang juga usahawan terkenal, adalah antara individu yang dipanggil bagi membantu siasatan berhubung kes penggubahan wang haram.

Pasangan itu dibawa ke Ibu Pejabat SPRM Putrajaya selepas dijemput di kediaman mereka dan hanya Shuib yang diambil keterangan sebelum dibenarkan pulang 23 jam selepas itu.

Shuib dan Sarah juga sempat mengatakan mereka hadir ke SPRM demi menjalankan tanggungjawab mereka sebagai rakyat Malaysia.