Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Dipasarkan Setelah Meninggal Dunia, Jelaskan Single Sandra Serap Imej Billie Eilish

Mya Amri
04/10/2020 03:26 MYT
Syarikat rakaman dan pihak pengurusan Allahyarham Sandra mengambil keputusan untuk melancarkan lagu terakhir arwah untuk mengubati kerinduan peminatnya.

Menurut wakil pengurusan Vea Norman, arwah sempat merakamkan lagu terakhirnya berjudul Jelaskan.

"Lagu ini menceritakan sebuah percintaan yang tergantung di tengah jalan. Sang kekasih memutuskan untuk meninggalkan pasangan tanpa ada perbincangan dan memaksa pasangannya menerima keputusan bulat-bulat.

“Kerana mengejar orang lain yang disukai, dia sanggup tinggalkan kekasihnya yang setia mengharungi susah senang bersama-sama. Lebih pedih, dia berlalu pergi tanpa alasan yang munasabah.

"Mesej utama yang ingin Sandra sampaikan dalam lagu ini adalah sesuatu perhubungan sepatutnya perlu dihormati kedua-dua pihak.

“Apa saja masalah dihadapi perlukan perbincangan yang kukuh dan tidak sepatutnya ditinggalkan tanpa alasan munasabah. Jangan ambil keputusan dan memaksa pasangan terima tanpa cuba memperbaiki atau berbincang," katanya.

Bercerita lanjut mengenai proses penghasilan lagu, Vea berkongsi arwah sudah menulis lagu berkenaan sejak tahun lalu.

“Namun proses rakaman hanya dapat disempurnakan sekitar Mei lalu.

"Prosesnya agak lama juga kerana lagu dirakam ketika PKP. Untuk susunan muzik dirakam di Kuala Lumpur (KL) manakala vokal di Sabah.

"Berikutan kualiti rakaman tidak memuaskan, produksi terpaksa menunggu Sandra untuk pulang ke Kuala Lumpur bagi merakam trek vokal semula.

“Bahagian itulah paling mencabar kerana dilakukan berulang kali untuk mendapatkan emosi yang paling sempurna.

“Arwah juga mengatakan dia menyerap imej daripada penyanyi terkenal antarabangsa, Billie Eilish,” ujar Vea.



Jelaskan sudah boleh didapati menerusi penstriman muzik terpilih antaranya Apple Music, Deezer, JOOX, KKBox, Spotify, Youtube dan Youtube Music bermula Jumaat lalu (2 Oktober 2020).
#Sandra Dianne
;