Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Diperli Rakan Artis Isu Suami Orang & Karaoke, Afifah Nasir Tak Kisah

Kamaruddin Razal
08/08/2017 11:37 MYT
Aktres baru Afifah Nasir tidak kisah apabila sesetengah selebriti memerli dirinya berkaitan dengan isu karaoke dan suami orang.

Afifah terpalit dalam kontroversi yang mendakwa dirinya menjadi orang ketiga dalam rumah tangga aktor Aliff Aziz dan Bella Astillah.

Pasangan suami isteri tersebut bergelut di sebuah pusat karaoke di Cheras selepas Bella menemui Aliff bersama seorang wanita yang didakwa identitinya sebagai Afifah.

"Saya tahu ada rakan selebriti dan isteri mereka memuat naik gambar berunsurkan peringatan seperti jangan kacau suami orang serta berkaitan dengan karaoke. Saya mengambil pendirian untuk tidak melayan perkara tersebut.

"Saya sendiri tak kisah dengan perkara tersebut. Mereka tidak tahu, jadi biarkan sahaja. Mulut orang kita tak boleh tutup.

"Saya nak marah pun tak guna. Bagi saya, sebelum menilai sesuatu cerita, dengar dulu penjelasan semua pihak, barulah boleh menilai," kata Afifah kepada Astro Gempak.

Tidak mempunyai masalah berlakon dengan suami orang, Afifah meletakkan batas profesionalism dalam setiap pekerjaan yang dilakukan.

"Sejujurnya, saya tak ada masalah langsung jika diminta untuk bergandingan dengan suami orang. Sebelum ini, saya pernah berlakon di samping aktor yang bergelar suami orang.

"Tiada masalah yang berlaku dan semuanya berlangsung secara baik. Saya ingin menegaskan yang saya tidak berminat dengan suami orang.

"Jika saya memang berkelakuan sebegitu, sudah semestinya saya akan terlibat dengan cinta suami orang semenjak pembabitan awal saya dalam dunia lakonan," katanya lagi.

Afifah mengadakan sidang media untuk menjernihkan keadaan selepas dua minggu berdiam diri. Dalam sidang media tersebut, Afifah ditemani oleh peguam, Sana Tufil Ahmad, kakaknya, aktres Mia Nasir, kekasihnya, Wan Ariff Wan Azhar dan pelakon Alana Amir.

Teks oleh: Kamaruddin Razal
#Aliff Aziz #Bella Astillah #Afifah Nasir
;