Bintang Big Stage 2020 (BS2020) Dinie Rashid megakui merasa rendah diri apabila layak ke konsert akhir BS2020 yang akan berlangsung pada Ahad ini.

Menurut Dinie, dia tidak menyangka namanya akan mara ke konsert akhir walaupun sudah beberapa kali berapa di kedudukan tiga tercorot.

“Saya rasa insecure kerana semua yang ada di sini semua normal dan semua ada kelebihan masing-masing. Bila saya berada dalam pertandingan ni dan layak ke konsert akhir, memang saya tak pernah sangka.

“Sebelum ni, saya banyak pakai cermin mata hitam sebab saya ada masalah silau. Mata saya akan sakit kalau masuk terlampau banyak cahaya.

“Alhamdulillah pihak Astro banyak membantu dari segi pencahayaan dan mereka tidak akan beri cahaya yang keterlaluan setiap kali saya buat persembahan.

“Rambut ni pula terima kasih pada yang menaja. Saya pun tak tahu macam mana rupa dia, saya hanya duduk dan mereka buatkan rambut saya. Diorang kata okay, saya okay,” kata Dinie kepada Gempak.



Dinie ditemui semasa majlis sidang media konsert separuh akhir BS2020 yang diadakan di Putrajaya International Convention Centre (PICC) pada Ahad.

Tambah bintang berusia 28 tahun ini lagi, dia gembira apabila dirinya yang seorang Orang Kelainan Upaya (OKU) dapat mara ke konsert akhir.

“Sejujurnya minggu ni sangat tertekan bukan pada saya sahaja tapi pada semua peserta pun. Dan tentunya semua orang pun nak menang. Tapi, bila dah masuk final ni, saya sendiri OKU dapat masuk final, saya gembira kerana ia rezeki.

“Saya dapat lagu My Baby You dan itu lagu kegemaran mak dan ayah saya. Dan saya tujukan persembahan akhir nanti untuk mereka berdua. Untuk lagu Anuar Zain tu, saya akan cuba walaupun saya rasa lagu tu sangat susah,” jelas Dinie lagi.

Undi peserta kegemaran secara online menerusi laman rasmi di www.gempak.com/bigstage serta menerusi aplikasi SYOK.

Juara Big Stage 2020 akan membawa pulang wang tunai RM100,000, tempat kedua dan ketiga bakal meraih RM50,000 dan RM25,000.

Big Stage 2020 bersiaran secara langsung dari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 16 Ogos 2020, jam 9 malam di saluran Astro Ria HD (104) dan Astro Ria (124).

Big Stage 2020 ditaja oleh Adabi dengan kerjasama Kinohimitsu selaku penaja bersama.