Berita
Diserang Sesak Nafas, Mas Omar Meninggal Dunia
Bekas Pegawai Perhubungan Awam dan pengurus artis Mohammad Omar atau lebih dikenali dengan nama Mas Omar, 64, meninggal dunia di rumahnya di Taman Datuk Harun, Petaling Jaya, akibat sesak nafas jam 2.50 pagi ini.
Isterinya Sawiah Ali berkata, Mas Omar tidak menunjukkan sebarang tanda sakit sebelum diserang sesak nafas secara tiba-tiba dan menghembuskan nafas terakhir.
"Pegawai perubatan mengesahkan arwah mengalami serangan jantung," katanya kepada Harian Metro
Allahyarham berada dalam keadaan uzur kerana pernah menghidap angin ahmar sebelum ini.
Jenazah Allahyarham akan diuruskan dan disembahyangkan di Surau Taman Medan Cahaya serta dikebumikan di Tanah Perkuburan PJS 4, Taman Medan, Petaling Jaya pada jam 11 pagi ini.
Ketika hayatnya, Allahyarham pernah bertugas di syarikat rakaman BMG, EMI dan SRC serta turut menguruskan ramai artis popular antaranya Datuk Nassier Wahab, Ramlah Ram, Liza Abdullah, Rohana Jalil, Juliza Adlizan, Datuk Shake, Datuk M Daud Kilau dan Datuk Jefrydin.
Mas Omar juga pernah menghasilkan album Disko Dangdut Barat (DBB Group) bersama R Jaafar pada 1984 serta
Album Nasyid Pop, Seribu Bintang Berhari Raya dan Senandung Mesra Aidilfitr sebelum beralih kepada karier menguruskan artis.
Allahyarham meninggalkan seorang balu, Sawiah Ali yang juga bekas Pegawai Perhubungan Awam dan pengurus artis serta empat anak iaitu Mas Sazly, Mas Sazmy, Mas Sazny dan Mas Mona.
Mas Sazly mengikut jejak pasangan ini apabila terbabit secara langsung dalam dunia seni tanah air.
Sumber: Harian Metro
Must-Watch Video