Hiburan
Disertai 1,000 Hadirin, World Kids #QuranHour Berlangsung Dengan Sukses!
World Kids #QuranHour (WKQH) berlangsung dengan jayakan semalam bersempena cuti Nuzul Quran.
Diadakan di Pustaka Raja Tun Uda, Shah Alam, Selangor, WKQH dianjurkan oleh Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) bersama rakan strategik media, Astro Ceria.
Berlangsung dengan sukses dengan kehadiran seramai 1,000 peserta yang terdiri daripada kanak-kanak dan ibu bapa, WKQH merupakan satu inisiatif utama menjelang kemuncak World #QuranHour yang bakal diadakan pada 30 Mei ini.
Selari dengan 'Misi Al-Kahfi 2019', majlis WKQH ini bukan sahaja bertujuan untuk memberikan pendedahan awal kepada kanak-kanak terhadap kitab suci Al-Quran, malah ia juga bermatlamat untuk memupuk rasa cinta terhadap agama.
Sekaligus, WKQH memberikan penerangan secara komprehensif dan sesuai untuk tahap pemahaman kanak-kanak dan mengangkat pendekatan edutainment.
Antara pengisian untuk WKQH ialah persembahan pembukaan dari karakter siri animasi popular Omar & Hana, selingan slot 'Pesan dari Gua' oleh Ustaz Don Daniyal dan persembahan istimewa pelakon Salam Squad iaitu Mia Sara, Fikry Kiki, Rykarl Iskandar dan Nik Adam Mika.
Surah Al-Kahfi ayat 1 hingga 10 dibacakan secara berulang oleh Tahfiz Muda Aqil, Tahfiz Muda Mikhail dan juara Tilawah Al-Quran, Farhatul Fairuzah. PU Azman juga memberikan tafsiran serta pemaknaan ayat-ayat itu melalui selingan Tadabbur Surah Al-Kahfi.
Majlis itu turut dihadiri oleh Mastura Muhammad selaku Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor, Datuk Hussamuddin Yaacub selaku Pengerusi Kumpulan Media Karangkraf merangkap Pengasas WUIF dan Putri Yasmin Megat Zaharuddin selaku Naib Presiden Kandungan GenNext dan Antarabangsa Astro.
WKQH disiarkan secara langsung di saluran Astro Ceria, Astro Oasis, Astro Oasis HD dan platform digital saluran YouTube Astro Ceria dan Astro Go.
Must-Watch Video