Borak & chill dari isu semasa ke topik viral. Tonton rancangan bual bicara di SeeNI sekarang!
Berita

Disifatkan Tidak Manis & Mengaibkan, Pegawai, Anggota Polis Disaran Tidak Main Tik Tok

Maliah Surip 11/12/2020 | 01:00 MYT
Pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) disaran untuk tidak bermain aplikasi media sosial Tik Tok ketika sedang bertugas kerana ia tidak sesuai dan mencemarkan imej pasukan, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador.
Beliau berkata perbuatan seperti menari di dalam aplikasi berkenaan tidak “manis” dilakukan oleh seseorang pegawai mahupun anggota dalam sesebuah pasukan beruniform kerana perbuatan itu seolah-olah mengaibkan uniform PDRM.
"Ia tidak manis dan tidak cocok apabila anggota atau pegawai dalam unit beruniform melakukan sesuatu perbuatan 'menari' dan ini sepatutnya dijadikan satu kesalahan tatatertib seolah-olah mengaibkan uniform PDRM.
"Uniform berwarna biru ini merupakan uniform keramat maka ia tidak manis kalau kita pakai uniform ini dan melakukan sesuatu perbuatan yang tidak cocok dengan budaya kerja," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sijil penghargaan kepada anggota PDRM di Bukit Aman.
Beliau berkata perbincangan mengenai isu Tik Tok dalam kalangan pegawai dan anggota polis akan dibincangkan dengan lebih lanjut dengan Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Datuk Zamri Yahya.
“Saya akan berbincang dengan Datuk Zamri bagi mengkaji perkara ini tentang baik dan buruknya, mungkin saya akan keluarkan satu arahan berhubung perkara ini," katanya.
Pada Sabtu lepas, seorang anggota polis wanita dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan berdepan tindakan tatatertib selepas memuat naik video seperti aksi tarian menerusi aplikasi Tik Tok sewaktu memakai uniform operasi polis.
Berikutan itu, Ketua Polis Kelantan DCP Shafien Mamat berkata perbuatan itu yang tular di media sosial menjejaskan imej jabatan dan kod etika PDRM.
Sumber: BERNAMA
#PDRM #Tik Tok #Aib #Anggota Polis
;