Hiburan
Ditahan Di Wad, Hafiz Hamidun Disyaki Alami Jangkitan Paru-Paru
Penyanyi lagu Jodoh Berdua, Hafiz Hamidun, 32, disyaki mengalami jangkitan di bahagian paru-paru dan kini ditahan di wad.
“Saya sudah mengalami demam semenjak Rabu minggu lalu. Ketika itu, saya berada di Indonesia atas urusan kerja dan sempat menerima rawatan di sebuah hospital di sana.
“Selepas selesai urusan kerja di Indonesia, saya kembali ke Malaysia dan bekerja seperti biasa. Namun begitu, selepas beberapa hari, demam saya belum lagi kebah. Saya dimasukkan di sebuah hospital di Damansara dan sudah memasuki hari ketiga di sini,” kata Hafiz ketika dihubungi semalam.
Tidak dapat menjalani ibadah puasa kerana uzur, Hafiz masih menerima rawatan dan mengambil beberapa ubat untuk menyembuhkan penyakitnya.
“Saya disyaki mengalami jangkitan paru-paru dan juga tibi. Platlet darah saya juga rendah. Saya tidak dapat berpuasa kerana saya harus mengambil ubat. Kemungkinan saya akan ditahan tiga hari lagi di hospital,” katanya.
Terpaksa menangguhkan beberapa urusan kerja kerana keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan, Hafiz tetap meneruskan dan memantau beberapa urusan pejabat menerusi aplikasi Whatsapp.
“Sepatutnya saya ada penggambaran, tetapi perkara tersebut tidak dapat diteruskan dan ditangguhkan kerana saya tidak sihat. Namun begitu, urusan pejabat tetap diteruskan dan saya berhubung dengan staf menerusi aplikasi Whatsapp. Saya berharap agar segera sembuh untuk meneruskan urusan kerja dan menyambut Ramadan seperti biasa,” katanya lagi.