Bagi menyemarakkan lagi semangat kemerdekaan, satu lagi filem tribute kepada pahlawan negara, Air Force The Movie: Selagi Bernyawa akan ditayangkan tidak lama lagi.

Menariknya lagi filem ini menampilkan pelakon-pelakon terkenal antaranya Datuk Adi Putra, Aiman Hakim Ridza, Nas-T, Sara Ali, Pablo Amirul, Johan As’ari, Luqman Hafidz, Anas Ridzuan, Jack Tan, Iman Corinne, Scha Alyahya dan Carmen Soo.

Filem hebat ini juga merupakan arahan Zulkarnain Azhar dan Frank See.

Air Force The Movie: Selagi Bernyawa dipersembahkan oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) bersama lima syarikat penerbitan gergasi iaitu Multimedia Entertainment, Golden Screen Cinemas, Astro, FXHammer Films serta SixFun Media.

Buat pertama kalinya juga majlis Pratonton dan Sidang Media Air Force The Movie: Selagi Bernyawa telah berlangsung di GSC Mid Valley hari ini manakala di sebelah malamnya turut berlangsung tayangan perdana.

Tetamu kehormat yang hadir adalah Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Datuk Sri Haji Affendi Buang (TUDM) dan Timbalan Panglima Tentera Udara, Leftenan Jeneral Datuk Indera Muhamad Norazlan Aris (TUDM).

Turut hadir di majlis tersebut adalah Pengerusi Kumpulan Multimedia, Tan Sri Datuk Sri Khalid Abu Bakar, Pengarah Urusan Kumpulan Multimedia, Datuk Steven Lim, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Golden Screen Cinemas, Cik Koh Mei Lee, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Astro, Encik Henry Tan, Pengarah, FXHammer Films, Encik Frank See dan Ketua Pegawai Eksekutif, SixFun Media, Encik KC Hoe.

Tayangan perdana Air Force The Movie: Selagi Bernyawa yang berlangsung dalam 17 dewan pawagam di GSC Mid Valley, dihadiri oleh lebih daripada 2,300 orang tetamu termasuk pegawai Angkatan Tentera Malaysia dan Tentera Udara Diraja Malaysia, serta selebriti-selebriti tempatan.

Wakil pihak penaja utama filem ini iaitu Bonia dan Cuckoo serta penaja bersama AHB dan 7 Days juga turut hadir.

Dengan sokongan penuh Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), filem penuh aksi AIR FORCE THE MOVIE: SELAGI BERNYAWA ini bakal memecah panggung di 170 lokasi di seluruh Malaysia, Brunei dan Singapura bermula 25 Ogos 2022.

Ia juga tersedia dalam Dolby Atmos dan 4DX untuk pengalaman yang lebih gempak.

Untuk maklumat lanjut, anda boleh lawati laman sosial di https://www.gscmovies.com.my/air-force-the-movie-selagi- bernyawa/

Sinopsis:

Filem ini mengisahkan tentang Kapten Adib (Adi Putra) dan Mejar Adnan (Nas-T) bersama skuad Pasukan Khas yang telah terlibat di dalam misi bantuan kemanusiaan di Namburi, sebuah negara yang sedang dalam pergolakan.

Di dalam penerbangan semasa perjalanan pulang ke Malaysia, pesawat mereka telah ditembak jatuh oleh kumpulan pengganas.

Mengetahui perkembangan ini, Tentera Udara Diraja Malaysia telah mengarahkan satu misi untuk menyelamatkan mereka semua.

Zafran (Aiman Hakim), abang ipar kepada Adib yang juga seorang juruterbang pesawat pejuang Sukhoi serta aset-aset tempur TUDM yang lain telah secara bersama diaturgerakkan untuk menyelamatkan mereka.

Demi keselamatan bersama, mereka harus berkorban dan berjuang sehingga ke titisan darah yang terakhir.