Pelakon dan pengarah Datuk Fizz Fairuz menafikan filem Mat Tudung Begins terbitan dan arahannya ada mempromosikan golongan LGBT atau ‘pondan’ sehingga mendapat teguran daripada seorang pendakwah yang menyifatkan ia bercanggah dengan hukum syarak.

Fizz atau nama sebenarnya Mohd Fairuz Zainal Abidin, 43, menjelaskan babak dalam filemnya yang menampilkan lelaki berpakaian wanita itu adalah hanya satu proses penyamaran sesuai dengan jalan cerita yang ditampilkan.

“Bergantung kepada niat. Jika niat saya mahu buat cerita ‘memondan’, begitulah jadinya. Kalau ia penyamaran, maka penyamaranlah jadinya.

“Di dalam cerita ini hanya beberapa babak sahaja saya bertudung, tak lebih 10 babak dan ia hanyalah sebuah penyamaran yang mempunyai unsur nasihat.

“Apa-apa pun saya kena terima apa sahaja kritikan orang. Pendakwah itu memberi pandangan daripada sudut agama, tapi saya bukan hari-hari ‘memondan’ dan pakai tudung,” katanya kepada Astro Gempak.

Fizz berkata demikian sebagai respons balas kepada teguran seorang pendakwah yang menyifatkannya ketandusan idea sehingga menghasilkan filem yang bercanggah dengan hukum syarak.

Mat Tudung Begins merupakan filem prekuel untuk filem Mat Tudung yang pernah diterbitkan pada tahun 2014.

Menurut Fizz, dia menunggu selama sembilan tahun untuk menghasilkan filem arahan pertamanya itu dan berharap ia dapat meraih kutipan mencecah hingga RM10 juta.

“Saya memang bawa kelainan dalam filem ini. Saya buat kajian, tanya orang dan tonton cerita apa yang penonton Malaysia mahukan selain Mat Kilau.

“Cerita ini saya hasilkan buat mereka yang mahukan hiburan. Ketika Mat Tudung ditayangkan pada 2014, saya dan barisan pelakon yang membintangi filem itu pun belum popular.

“Kini, dengan kuasa media sosial, saya percaya filem ini akan berhasil paling sikit (kutipan) RM10 juta,” ujarnya.

Mat Tudung Begins yang bakal ditayangkan di pawagam mulai 3 ogos ini mengisahkan tentang seorang lelaki bernama Johari yang bekerja di sebuah hotel. Dia dan rakan sekerjanya cuba memberi perkhidmatan terbaik kepada juri The Forbest yang bakal memberi penilaian kepada hotel mereka.

Selain Fizz sendiri pelakon lain yang membintangi Mat Tudung Begins adalah seperti Achey, Isyariana, Maryam Durian Kimchi dan pempengaruh Indonesia, Mimi Peri.