Pelakon legenda, Wahid Satay atau nama lengkapnya, Abdul Wahid Ahmad menghembuskan nafasnya yang terakhir pada usia 93 tahun pagi tadi.

Memetik BeritaMediacorp, cucu arwah Mahirah Mohd Yasin memberitahu allahyarham ditemui dalam keadaan sudah tidak bergerak di katil pada sekitar pukul 8.30 pagi di rumahnya di Teban Gardens, Singapura.

Semasa hayatnya, Wahid mempunyai penyakit kencing manis dan jantung.

Bulan lalu, Wahid dimasukkan ke hospital akibat jangkitan di jari kakinya dan disahkan doktor mengalami serangan jantung ringan ketika itu.

"Selepas allahyarham balik dari hospital, dia kelihatan okay saja dan bahkan, semangat untuk beraya dengan anak dan cucunya," ujar Mahirah.

Jenazah akan disolatkan di Masjid Pusara Aman sebelum dikebumikan selepas Zuhur.

Wahid Satay atau lebih mesra disapa Pak Wahid, merupakan antara seniman terkemuka dan orang lama Jalan Ampas, ketika zaman kegemilangan filem Melayu pada era 50-an dan 60-an.

Antara filem-filem terkenal yang mengharumkan nama Wahid Satay termasuk Badang, Anak Dara dan Pontianak.

Sumber: BeritaMediacorp