HIBURAN

Dituduh Jadi ‘Penyondol’, Bekas Stylist Selebriti Sedia Ambil Tindakan Undang-Undang - “Saya Tak Layan Lelaki Dah Kahwin…”

Asyraf Roslan 02/08/2025 | 00:55 MYT

Wanita yang didakwa menjadi punca keretakan rumah tangga pasangan selebriti popular, Fattah Amin dan Nur Fazura iaitu Syira Atiqah meluahkan rasa terkilan apabila menjadi mangsa tuduhan tidak berasas.

Menerusi satu hantaran di Instagram Stories, Syira menyatakan ini merupakan kali kedua dia difitnah sebagai ‘penyondol’ dan ‘perosak rumah tangga’ meskipun tidak pernah melakukan perkara tersebut.

“Saya tak sangka saya perlu bersuara begini, tapi cukuplah. Untuk kali kedua, saya dituduh melakukan sesuatu yang saya tidak lakukan, digelar penyondol dan perosak rumah tangga orang.

“Tuduhan ini sangat berat dan menyakitkan hati. Orang terlalu cepat menghakimi, menyebarkan cerita dan mencemarkan nama saya tanpa mengetahui kebenaran.

"Apa yang paling menyedihkan, saya diam bukan sebab saya bersalah, tetapi kerana saya memilih maruah. Ya, perkara yang sama pernah berlaku dulu, dan kini berlaku lagi. Tapi diam tidak bermaksud bersalah,” katanya.

Dalam pada itu, Syira turut memberitahu dia mempunyai bukti kukuh yang boleh membersihkan namanya namun enggan mendedahkan bukti tersebut demi menjaga aib pihak lain.

Syira juga menegaskan dia tidak pernah menjalin hubungan dengan lelaki berstatus suami orang, apatah lagi menjadi punca kepada keretakan mana-mana perkahwinan.

"Saya ada kebenaran saya sendiri, dan saya ada bukti-bukti yang kukuh dan tidak boleh disangkal. Tapi saya takkan kongsikan kerana saya percaya kepada menjaga aib, walaupun orang lain tidak menjaga aib saya.

"Saya tak bertanggungjawab terhadap keretakan hubungan sesiapa. Saya tidak layan lelaki yang sudah berkahwin. Saya tidak layak dipalit dengan tuduhan sebegini hanya kerana orang perlukan seseorang untuk dipersalahkan,” ujarnya.

Bekas hijab stylist kepada Fazura itu juga memaklumkan dia tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang menyebarkan fitnah dan mencemarkan reputasinya.

"Mulai saat ini, sebarang fitnah, tuduhan palsu atau usaha untuk merosakkan nama saya akan ditangani secara undang-undang. Saya tidak akan teragak-agak untuk ambil tindakan, dan saya sudah mula kumpulkan nama, tangkapan skrin, dan segala bukti yang perlu.

"Yang paling melucukan, bila saya berdepan dengan orang yang menuduh saya, dia sendiri mengaku cerita itu bukan dari dia. Katanya, 'kawan-kawan saya yang cakap'. Tapi bila saya tanya siapa kawan-kawan tu, dia jawab, 'saya tak nak mereka terlibat'. Jadi, nama saya dijaja hanya berdasarkan cerita orang yang tidak mahu tampil pun,” ujarnya.

Terdahulu, pempengaruh media sosial Elcah mendakwa rumah tangganya berdepan gangguan daripada seorang wanita yang disifatkan cuba menggoda suaminya, Hafizzuddin Hamri atau lebih dikenali sebagai Afi Hamri.

Perkara itu didedahkan sendiri oleh Elcah menerusi beberapa hantaran di platform Threads, baru-baru ini.

Dalam hantaran sama, Elcah turut mendakwa wanita berkenaan sebelum ini dipercayai pernah bangga mengaitkan dirinya dengan pelakon, Fattah Amin.

#Fattah Amin #Nur Fazura #Syira Atiqah