Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Dituduh Khurafat & Syirik Raja Bomoh Buat Laporan Polis, Mahu Saman JAIPk RM300 Juta!

Fiza Kamarudin
07/01/2022 01:40 MYT
Raja Bomoh, Ibrahim Mat Zin menafikan melakukan perbuatan syirik dan khurafat di Teluk Intan, seperti yang didakwa sebelum ini.

Raja Bomoh mendakwa dia melakukan ritual menolak banjir di daerah tersebut mengikut cara tradisional dan petua orang zaman dahulu.

Katanya, apa yang dilakukan semata-mata kerana Allah SWT dan mahu menyelamatkan tapak perkuburan sekiranya kawasan tersebut dilanda banjir.

“Tujuan saya buat itu supaya banjir jangan naik besar di Teluk Intan. Saya buat supaya banjir jangan melanda Sungai Manik, Labu Kubong, Kampung Gajah, Parit dan Bagan Datuk. Berdoa dan mengunakan daun serta kayu dilepaskan (ke sungai).

“Saya buat untuk selamatkan tapak perkuburan. Jangan hilang makam diraja. Orang tua saya dan keturunan saya banyak dikebumikan di Teluk intan. Bukan tujuan saya untuk berbangga atau publisiti,” katanya.

Sehubungan itu beliau berkata akan menyaman pihak yang menuduhnya melakukan perkara syirik dan khurafat.

Menurutnya, jabatan berkenaan tiba-tiba menjatuhkan hukum syirik dan khurafat sedangkan perlu ada budi bicara dalam soal itu kerana jika ada perkara yang salah boleh diperbetulkan.

Katanya lagi, Malaysia sebuah negara demokrasi, sepatutnya jabatan terbabit memanggilnya untuk berbincang terlebih dahulu dan menegur jika perbuatannya itu salah.

“Saya telah berbincang dengan peguam dan akan saman RM300 juta jabatan yang kata saya syirik dan khurafat,” katanya dalam satu rakaman video yang disiarkan di laman Facebook Datok Ibrahim Md Zin.

Dalam pada itu, pihak polis turut mengesahkan menerima laporan daripada Ibrahim berhubung dakwaan mengadakan upacara yang bertentangan ajaran Islam di Dataran JPS Teluk Intan.

Terdahulu, tular video berdurasi 25 minit, Raja Bomoh bersama seorang wanita dikenali sebagai 'Puteri Zaleha' menjalankan ritual menolak musibah banjir.

Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) juga dilaporkan membuka kertas siasatan terhadap Ibrahim berkaitan upacara yang bercanggah dengan ajaran Islam.
#Raja Bomoh #Polis #PDRM #Ibrahim Mat Zin #JAIPk #Saman RM300 Juta
;