Dituduh Lari Dari Hospital Selepas Positif Covid-19? Wanita Ini Tampil Perjelas Kisah Sebenar!
Gara-gara dituduh melarikan diri daripada hospital selepas disahkan positif Covid-19, seorang wanita tampil menjelaskan keadaan sebenar.
Wanita dikenali sebagai Che Nurul Nabilah Shaari itu menjelaskan dia tidak pernah masuk ke hospital Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu, Kelantan sebagaimana maklumat viral itu.
Ini kerana dia sentiasa berada di rumahnya kerana menjalani kuarantin.
"Saya tidak lari daripada wad hospital kerana saya belum lagi masuk hospital.
"Saya kini menjalani kuarantin di rumah dan tidak bergaul dengan sesiapa. Saya juga sudah memaklumkan kepada pihak berkenaan tentang perkembangan saya.
"Saya tidak tahu apa yang berlaku kerana telefon saya rosak menyebabkan saya tidak menerima sebarang maklumat," katanya.
Che Nurul Nabilah berkata demikian menerusi akaun TikTok.
Terdahulu, Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) menafikan penyebaran maklumat yang tular kononnya seorang pesakit Covid-19 melarikan diri dari hospital berkenaan.
Pengarahnya, Datuk Dr Selasawati Ghazali berkata, dakwaan itu adalah tidak benar dan buat masa ini hasil semakan juga mendapati tidak ada kemasukan pesakit sepertimana maklumat yang tular itu di hospital berkenaan.