Penyanyi dan komposer muda, Danial Chuer mengakui terkesima dengan tuduhan rakan serumah yang mendakwa dirinya menyimpan stok minuman keras (beer) dalam peti sejuk di rumah sewanya.

Danial berkata, dia tidak sangka rakan serumahnya itu tidak memeriksa terlebih dahulu minuman jenis apa yang disimpan, sebaliknya terus mengadu pada agen rumah.

“Sebenarnya, minuman itu minuman kesihatan penambah tenaga, Ning Xia yang saya sudah minum sejak sekian lama. Saya memang letak sekotak dalam peti sejuk sebab kakak saya jual, jadi kalau setiap kali balik kampung, dia akan bekalkan saya.

“Tak sangka pula kotak berisi minuman kesihatan dianggap sebagai minuman beralkohol,” katanya kepada Gempak.


Danial mengulas mengenai ciapan yang dikongsikan di Twitter mengenai insiden berkenaan baru-baru ini.

Dalam pada itu, Danial berkata, dia tertanya-tanya mengapakah rakan serumahnya itu tidak bertanya terlebih dahulu atau membuat carian di Internet sebelum mengadu kepada egen rumah.

“Saya jadi terkejut apabila ejen rumah hantar gambar kotak berisi minuman itu dalam group Whatsapp. Rasa geram ada, kelakar dan kelakar pun ada. Dia baru menyewa di rumah itu, tapi dia boleh sahaja search di Google dulu Ning Xia ni apa.



“Lagipun air minuman ini dibungkus dalam pek berbentuk sachet, bukan dalam botol atau tin sehingga boleh disalah faham sebagai minuman keras,” katanya lagi.

Bagaimanapun, Danial menambah, insiden tersebut bukanlah satu isu besar.

“Sebenarnya bukan isu besar pun. Saya saja kongsi sebab kelakar dan ia jadi lucu sebab orang salah anggap. Selepas saya terangkan di group mengenai minuman itu, masing-masing diam. Jadi saya anggap selesai,” katanya.

Berkongsi perkembangan terkini Danial berkata: “Saya sedang sibuk mempromosikan single duet dengan Fya Julia berjudul Erti Sempurna. Saya juga salah seorang juri bagi All Together Now musim baharu.

“Selain mengajar vokal, piano dan composition di Suara Academy, saya juga sedang buat persiapan untuk sambung balik pengajian peringkat ijazah yang tertangguh setahun kerana menyertai Big Stage tahun lalu,” tutupnya.

Undi bintang digital dan content kegemaran Top 5 anda di Gempak Most Wanted Awards 2022 di sini.