Viral
Dituduh Tak Bayar Gaji Pekerja, Pemilik ANAS Cosmetics Maafkan Penyebar Fitnah... "Saya Tak Mahu Besarkan Lagi Perkara Ini"
Pengarah Urusan ANAS Cosmetics, Anas Zahrin enggan memanjangkan isu tuduhan tidak membayar gaji pekerja yang tular di Twitter baru-baru ini.
Kata Anas, dia mengambil pendekatan terbabit bagi mengelakkan salah faham dan menjadikan isu itu berlarutan.
"Maaf, saya tak mahu besarkan lagi perkara ini dan saya tak mahu mengulas lanjut," katanya kepada Gempak.
Bagaimanapun, Anas menerusi kemas kini akaun Instagramnya memaklumkan dia telah memaafkan individu terbabit demi memberikan pengajaran kepada orang lain agar menggunakan platform sosial media seperti Twitter dengan lebih berhemah.
"Memaafkan bukan bermaksud saya kalah atau saya tiada kapasiti untuk meneruskan kes ini tapi bagi saya mudah.
"Tiada istilah kalah menang tapi ini akan menjadi satu pelajaran serta pengajaran buat semua, dan saya terfikir apa akan jadi dengan pekerjaan awak? Hidup awak lepas ni jika sampai ke peringkat yang lebih tinggi? Mana awak nak cari sejumlah wang jika saman yang bakal awak terima?
"Sebab itu, gunakan media sosial sebaiknya, jangan sewenangnya menaip sesedap rasa dan mengikutkan perasaan tanpa memikirkan akibat serta sebarang kemungkinan yang bakal berlaku disebabkan kita mahukan “glamour” atau “clout”.
"Ingat satu benda ni, bila kita cakap itu ini especially benda tak baik memang semua akan RT, semua akan sokong seolah dialah sahabat baik kita tapi bila sesuatu tindakan diambil, seorang pun tak muncul malah bertepuk tangan tengok kita," tulisnya.
Terdahulu timbul dakwaan bahawa usahawan kosmetik itu didakwa tidak membayar gaji pekerjanya walhal terpaksa berkerja hingga larut malam.
Anas tampil menafikan dakwaan itu dan menjelaskan pemilik akaun Twitter berkenaan bukan pekerjanya.
Malah, perihal pembayaran gaji pekerja telah dipersetujui secara bertulis hitam putih melalui kontrak sebelum ini.
Justeru kata Anas, orang luar tidak sepatutnya campur tangan dalam urusan syarikat dan pekerjanya.
Individu terbabit kemudiannya membuat permohonan maaf secara terbuka dan memadamkan semua tuduhan yang dilemparkan kepada Anas dan jenama ANAS Cosmetics di Twitter.
Perkongsian Anas itu mendapat pelbagai reaksi daripada ramai usahawan tempatan serta para selebriti diruangan instagram milik beliau AnasZahrin antaranya Mira Filzah, Uyaina Arshad, Fynn Jamal dan ramai lagi.
"Antara orang yang paling jaga kebajikan staf adalah adik akak yang ni, yang apa-apa je mesti dia akan cakap “untuk staff anas, kak”, “bagi staff anas, kak”.
"Pengajaran bukan untuk beliau yang memulakan fitnah tapi untuk semua pembaca yang suka percaya statement entah sesiapa dan jadikan hujah," tulis Fynn Jamal.
"Semoga ini menjadi pengajaran kepada seluruh warga net untuk berhati-hati ketika menaip," nasihat Uyaina Arshad.