Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Dituduh Terlibat Penggubahan Wang Haram, Ezlynn Buat Laporan Polis & Nak Saman Dua Pihak!

Fiza Kamarudin
17/04/2021 11:50 MYT
Penyanyi Ezlynn, 39, membuat laporan di Balai Polis Dang Wangi, semalam berhubung dakwaan terbabit dalam kegiatan haram bersama seorang pelakon dengan seorang lelaki seperti yang tular di media sosial.

Pada masa sama, Ezlynn atau nama sebenarnya Azline Ariffin juga dilaporkan akan memfailkan saman terhadap dua pihak iaitu pemilik akaun Facebook Ryan Ricmal dan Jabatan Netizen Negara Official yang dikenal pasti menular dokumen terbabit yang mencemar imej dan menjatuhkan maruahnya.

Ezlynn berkata, seorang lagi pemilik akaun Facebook iaitu seorang wanita dari Perlis sudah mengemukakan permohonan maaf menerusi suaminya dan dia menganggap perkara ini selesai.

Terdahulu, tular dokumen mengaitkan Ezlynn dan seorang pelakon sebagai pihak yang terbabit bekerjasama dalam menjalankan aktiviti pengubahan wang haram bersama lelaki itu.

"Selepas membuat laporan, saya ke Balai Polis Damansara untuk bertemu Pegawai Penyiasat bagi merakamkan keterangan.

"Polis menafikan dokumen itu daripada mereka dan hairan bagaimana ia boleh tersebar secara meluas di media sosial. Apa yang dilakukan ini kerana saya nak ambil tindakan saman," katanya.

Menurutnya, polis berjanji akan menyiasat kes ini secara profesional supaya keadilan berpihak kepadanya.

"Saya juga beri kenyataan saya dan sudah ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta berikan kenyataan yang lengkap dalam kes ini. Mereka berpuas hati dengan keterangan yang diberikan," katanya.

Penyanyi yang popular dengan lagu lagu Hi Hi Bye Bye ini berkata, nama-nama mereka turut disebut dalam laporan polis yang dibuat.

"Tujuan saya sebagai pengajaran supaya jangan sebarkan perkara yang tak betul. Saya cuma nak mereka minta maaf secara terbuka kepada saya sebelum saya bergerak ke fasa selanjutnya iaitu saman sivil.

"Sebelum itu, saya beri peluang mereka buat permohonan maaf terbuka dulu dalam masa 48 jam. Mereka juga kena padam status berkenaan perkara ini," katanya seperti dilaporkan Harian Metro.


#saman #Ezlynn #Laporan Polis #Money Laundering
;