Semalam, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) secara rasminya mengisytiharkan kluster COVID-19 terbesar negara iaitu kluster perhimpunan di Masjid Seri Petaling telah tamat pengawasan.

Perkara itu diumumkan oleh Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah setelah tiada kes baru dilaporkan dalam tempoh 28 hari.

Pengumuman tersebut juga telah membuatkan ramai netizen tersentuh apabila memikirkan kisah lampau yang melanda kluster berkenaan.

Pada masa sama, rata-rata daripada mereka turut menyifatkan kluster tabligh juga wajar diangkat sebagai hero.

Menerusi satu posting oleh Public Health Malaysia, mereka menjelaskan bukan kehendak tabligh ini untuk dijangkiti virus ini.

"Ketika mereka berada pada ujian yang tertinggi, dikeji, dihina, dan ditambah sahabat mereka yang syahid kerana covid19, majoriti mereka masih mempunyai sikap bertanggungjawab di dalam aktiviti kawalan COVID-19.

"Kita berterima kasih kepada tabligh yang telah menyaring dan kuarantin di Hospital semata-mata untuk melindungi seluruh rakyat Malaysia.

"Kami harap anda semua terus tabah dan kuat menghadapi dugaan ini. Ya Allah, tinggilah darjat mereka di sisi mu," kata pengendali akaun tersebut.

Difahamkan sehingga kini lebih 8,000 tabligh telah disaring ujian COVID-19.

Ingat lagi post dahulu yang kami share? Hari ini tamatlah kluster Sri Petaling. Terima kasih semua. Kita berjaya akhirnya. Alhamdulillah.

Posted by Public Health Malaysia on Wednesday, July 8, 2020