Layan Gempak Non-Stop Live hari ini selama 12 jam! Kumpul kata kunci & menang hadiah menarik di sini
Hiburan

Diumum Penerima Bayaran Tertinggi, Shah Rukh Khan Malu

Ahmad Shah 15/12/2015 | 09:25 MYT

Aktor Bollywood, Shah Rukh Khan mengakui berasa malu apabila diumumkan selebriti yang menerima bayaran tertinggi di India oleh majalah Forbes baru-baru ini.

Menurut Shah Rukh Khan atau nama panggilannya, ‘King Khan', apa yang dikecapinya hari ini adalah usaha mereka yang sentiasa memberi sokongan selama ini.

“Saya tidak tahu apa yang hendak dikatakan. Saya berasa malu mengenainya. Ramai orang yang turut membantu perjalanan kerjaya saya. Jadi usaha mereka tidak boleh dilupakan.

“Sama seperti filem, diarahkan oleh seseorang dan hanya menggunakan wajah saya. Begitu juga dalam bidang perniagaan, ia dikendalikan oleh individu tertentu dan wajah saya hanya menghiasinya sahaja.

“Tersenarai dalam Forbes sesuatu yang bagus kerana ia memberi pengiktirafan kepada jenis perniagaan yang kita lakukan,” jelas Shah Rukh Khan.

King Khan menduduki tangga ke-18 di dunia dengan purata bayaran RM112 juta untuk tahun 2015 sekaligus menewaskan dua lagi selebriti terkenal Bollywood, Amitabh Bachchan dan Salman Khan yang masing-masing berada di tangga kedua dan ketiga di India.

Selain Shah Rukh Khan, antara selebriti terkenal dunia yang turut tersenarai menerima bayaran paling tinggi ialah Robert Downey Jr yang berada di tempat pertama dengan bayaran RM344 juta, pelakon lagak ngeri Jackie Chan di tangga kedua dengan purata bayaran RM215 juta dan Vin Diesel di tangga ketiga yang menerima keuntungan sebanyak RM202 juta setahun.

Olahan Semula: Khalid Rahman

Sumber: Indian Express, Forbes

#Shah Rukh Khan #Bollywood #Shah Rukh Khan
;