D’Masiv Teruja Untuk Konsert Di Malaysi Jun Depan - “Ada Beberapa Lagu Dilakukan Susunan Muzik Semula…”
Asyikin Mayudin
19/03/2023 02:52 MYT
19/03/2023 02:52 MYT
Bakal mengadakan konsert berprestij di Malaysia pada Jun depan, kumpulan D’Masiv mengakui mereka berasa teruja untuk bertemu dengan peminat.
Menerusi temubual secara virtual, Rian berkata, mereka kini sibuk membuat persiapan untuk menjayakan konsert berkenaan.
“Beberapa bulan lalu, saya sempat menulis ciapan di Twitter dan ramai peminat yang inginkan kami hadir ke Malaysia untuk mengadakan konsert.
“Jadi, itu membuatkan kami sangat teruja untuk mengadakan persembahan di sini. Sebelum ini, kami sudah beberapa kali hadir ke Malaysia, tetapi sekadar mempromosikan album dan sebagainya.
“Kalau buat persembahan pun, tampil bersama pemuzik lain seperti Nidji dan Geisha. Justeru, konsert ulang tahun ke-20 ini akan menjadi taruhan pertama kami di Malaysia.
“Kami teruja akhirnya dapat bertentang mata dengan peminat yang menyokong D’Masiv selama ini,” katanya kepada Gempak.
Neptunes Presents mempersembahkan konsert berprestij, D’Masiv 20AD To The World - Live In Kuala Lumpur yang dianjurkan buat julung kali khusus untuk meraikan sambutan ulang tahun ke-20 perjuangan legasi muzik.
Konsert D’Masiv 20AD To The World bakal menggegarkan lokasi berprestij, Zepp Kuala Lumpur pada 2 Jun depan.
D’Masiv bakal menghiburkan peminat menerusi antara 23 hingga 25 rangkaian lagu popular seperti Pergilah Kasih, Cinta Sampai Di Sini, Merindukanmu, Jangan Menyerah dan Cinta Ini Membunuhku.
D’Masiv dianggotai Rian Ekky Pradipta selaku vokalis, Dwiki Aditya Marsall (gitar), Nurul Damar Ramadan (gitar), Rayyi Kurniawan,Iskandar Dinata (bass) dan Wahyu Piadji (dram).
Mengenai tema konsert, kata Rian, mereka mengangkat tema jelajah dunia untuk persembahan kali ini, sekali gus menyediakan susunan muzik berbeza mengikut kesesuaian peminat.
“Secara kebetulan, kami mahu mengadakan siri jelajah ke beberapa negara, tahun ini. Jadi, Malaysia akan menjadi negara pertama, kemudian disusuli negara lain seperti Indonesia, Australia dan Amerika Syarikat.
“Ada beberapa lagu dilakukan susunan muzik semula agar berbeza daripada versi asal. Tetapi, ada juga lagu yang akan dipersembahkan dalam versi asal untuk memenuhi permintaan peminat.
“Kami yakin peminat di Malaysia akan bersama menyanyikannya di pentas Zepp Kuala Lumpur,” katanya.