Hiburan
"Doakan Mereka Yang Pernah Menganiaya Saya Di Depan Kaabah" - Ifa Raziah
Selebriti popular, Ifa Raziah bersyukur kerana perjalannya mengerjakan ibadah Umrah di Tanah Suci Makkah dipermudahkan.
"Alhamdulillah, semuanya dipermudahkan. Cuma saya diuji apabila datang bulan semasa hari ketiga berada di Makkah.
"Namun begitu, selepas lima hari, ia telah terhenti dan saya boleh kembali beribadah. Saya juga rasa sangat puas hati apabila dapat mengerjakan Umrah untuk diri sendiri serta arwah ibu dan bapa.
"Saya mendoakan semua orang di depan Kaabah, termasuklah keluarga, saudara mara, rakan-rakan, sahabat handai, kenalan, peminat serta mereka yang pernah menganiaya saya.
"Saya mengharapkan yang baik-baik sahaja dan berdoa agar semuanya dapat peluang untuk beribadah di Tanah Suci," kata Ifa.
Tambah Ifa yang pergi ke sana bersama suami, Mohd Yani serta anak lelaki mereka, Muhammad Shakir Aqili, mereka melanjutkan bilangan hari di Tanah Suci Mekah.
"Sepatutnya, saya bersama keluarga berada di sana selama 12 hari. Akhirnya, kami tambah lima hari lagi. Akhirnya, kami berada di Tanah Suci selama 17 hari.
"Ikutkan hati, saya mahu berada di sana sehingga awal bulan Mac tetapi anak saya bersekolah. Tak elok pula jika anak saya ponteng sekolah lama-lama, jadi cukuplah sekadar 17 hari.
"Apa yang penting, saya menyimpan hasrat untuk ke Tanah Suci Makkah dan Madinah sekali lagi jika berkesempatan.
"Pengalaman beribadah dan melihat kebesaran Allah memang sangat menakjubkan dan saya sudah rasa rindu," kata Ifa menutup bicara.