Laman Utama
“Doakan Pak Lah Panjang Umur” - Berita Palsu Meninggal Dunia Tular, Laporan Polis Akan Dibuat
Pegawai Khas Tun Abdullah Ahmad Badawi Datuk Jefridin Atan akan membuat laporan polis mengenai penularan berita palsu bahawa bekas perdana menteri itu telah meninggal dunia.
Memetik laporan Bernama, Jefridin berkata beliau memandang serius berkenaan mesej tular berkenaan dan akan menghadirkan diri untuk membuat laporan polis pagi esok di Ibu Pejabat Polis (IPD) Daerah Putrajaya.
"Perkara ini tidak boleh dibiarkan, mesej tular palsu ini adalah fitnah semata-mata dan menyusahkan rakyat. Sepatutnya rakyat memohon doa agar Pak Lah (Tun Abdullah Ahmad Badawi) panjang umur dan sihat sejahtera di samping keluarga.
“Kematian bukan isu yang boleh dimainkan. Saya akan serahkan kepada polis untuk membuat siasatan lanjut tentang perkara ini," katanya ringkas kepada Bernama.
Sementara itu, bekas setiausaha akhbar Abdullah, Teoh Ai Hua turu berkata beliau berkesempatan berjumpa dengan Pak Lah di kediamannya baru-baru ini.
Pada minggu lalu, berita palsu mengenai Tun Abdullah meninggal dunia tular melalui WhatsApp.
Sekadar info, Abdullah yang kini berusia 81 tahun, dilahirkan pada 26 November 1939.
Beliau memegang jawatan sebagai Perdana Menteri kelima, juga sebagai Menteri Kewangan dan Menteri Keselamatan Dalam Negeri bermula 31 Oktober 2003 hingga 3 April 2009.
Sumber: Bernama