Berita
“Doakan Saya…”- Alif Satar Dijangka Discaj Dari Hospital 3 Disember Ini
Selepas hampir seminggu menjalani rawatan di Hospital Melaka, penyanyi, pengacara dan pelakon, Alif Satar memberitahu tahap kesihatannya semakin baik.
Malah Alif memberitahu jika tiada kekangan dia dijangka discaj dari hospital pada 3 Disember ini.
“Alhamdulilah tahap kesihatan saya berada dalam keadaan baik kerana selepas diperiksa darah, paru-paru serta buah pinggang saya, semua berada dalam keadaan memuaskan.
“Malah saya juga tiada simptom seperti demam batuk, cuma saya hilang deria bau. Saya sudah tidak dapat menghidu sabun yang saya mandi serta deodorant yang dipakai.
“Tapi saya bersyukur, Allah tidak tarik nikmat rasa dan saya masih boleh menjamu selera seperti biasa.
“Saya akan menjalani ujian swab Covid-19 sekali lagi pada 2 Disember ini dan jika keputusannya negatif dan tahap kadar kebolehjangkitan saya kurang, saya dibenarkan discaj dan pulang,” katanya.
Alif dihubungi oleh Astro Gempak yang ketika ini sedang menjalani rawatan dan kuarantin di Hospital Melaka.
Pelantun lagu Cukup Indah itu disahkan positif Covid-19 pada 22 November lalu, manakala isterinya, Sha Dila Hadid dan anak-anak Alif iaitu Alisha Anugerah, 5, Ariana Mecca, 3 dan Muhammad Ali, 1, bebas dari jangkitan virus tersebut.
Berjauhan dan terpisah dengan isteri dan anak-anak bukan perkara yang mudah, Alif memberitahu dia berhadapan dengan dugaan mental.
“Saya kini hadapi dugaan mental kerana dikuarantin di dalam bilik bersendirian dan tidak boleh menjalani kehidupan luar seperti biasa.
“Jadi rutin saya setiap hari, saya akan ke ruang solat yang disediakan dan bersyukur kerana disitu ada tingkap yang boleh dibuka untuk saya hirup udara luar. Selepas solat saya boleh melakukan senaman sambil menikmati pemandangan luar.
“Saya juga amat merindui keluarga dan anak-anak. Bimbangkan mereka pun ada kerana saya berjauhan dan tidak dapat bersama mereka.
“Jadi boleh dikatakan setiap sejam atau dua jam saya akan membuat panggilan video. Saya harap mereka sentiasa dilindungi dan berada dalam keadaan baik,” katanya lagi.
Tiada apa yang diharapkan, hanya doa dari keluarga dan peminat yang dipinta supaya segera sembuh seperti sedia kala.
“Saya ingin ucapkan berbanyak terima kasih kepada semua yang sentiasa mendoakan kesihatan saya dan keluarga saya.
“Saya hanya harap teruslah berdoa bukan sahaja untuk saya tetapi untuk pejuang Covid-19 yang lain agar kuat melawan virus ini sehingga sembuh,” pintanya.
Selain Alif, ibu bapanya, Hafiza dan Satar Ramli serta adiknya, Jim Satar dan terbaharu datuknya Mohammad Che Noh, 71, juga disahkan positif pada awal minggu ini.
Bagaimanapun, ibu bapa Alif sudah sembuh dan dibenarkan pulang dari menjalani rawatan serta kuarantin di Hospital Sungai Buloh.
Alif yang menjalani penggambaran drama Penjara Cinta sejak minggu lalu baru membuat persembahan di sebuah acara pada Jumaat.