Luahan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri menerusi satu posting di Twitter baru-baru ini nampak gayanya telah membuatkan ramai warga maya sebak.

Posting berkenaan dibuat susulan kehadirannya di Penjara Kajang dan Sungai Buloh.

Menurut Zulkifli, saban tahun, Penjara Kajang dan Penjara Sungai Buloh adalah destinasi kunjunginya setiap kali Ramadan.

"Entah kenapa hati ini tertaut kepada dua tirai besi ini sejak dahulu.

"Melihat wajah bersih Banduan Akhir (BA) menerbitkan rasa keinsafan yang amat mendalam," katanya.

Jelasnya, tahun ini, tidak ada majlis berbuka puasa yang selalu dianjurkannya seperti tahun-tahun sebelum ini berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang perlu dipatuhi.

"Namun, alhamdulilah kami dapat juga menguruskan juadah berbuka puasa KFC dan Pizza Hut buat insan-insan istimewa ini.

"Saya katakan kepada mereka, tuan-tuan doakan saya jadi menteri yang buat kerja kerana Allah, ya.

"Doakan moga-moga kita bertemu di syurga nanti. Pesanan saya disambut dengan gemaan Aamiiinnn oleh para BA," katanya.

Sehingga kini posting berkenaan telah dikongsi sebanyak 1,800 kali.