Seorang pegawai perubatan dibawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) meninggal dunia akibat COVID-19 di Kangar, Perlis.

Sekali gus, ia menjadikan angka keseluruhan yang maut akibat wabak tersebut setakat ini sebanyak sembilan kematian.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia merupakan kematian pertama melibatkan seorang pakar perubatan KKM.

Katanya, mangsa yang meninggal dunia 10.33 pagi tadi merupakan kes ke-890, berusia 48 tahun dan mempunyai sejarah perjalanan ke Turki.

"Beliau telah dimasukkan ke Hospital Tuanku Fauziah, Kangar pada 17 Mac 2020 setelah mengalami simptom Severe Acute Respiratory Infection.

"Beliau telah disahkan positif COVID-19 pada 18 Mac 2020 dan diberikan bantuan alatan pernafasan sejak 19 Mac 2020 setelah keadaan kesihatan beliau merudum," katanya seperti yang dilapor Astro Awani.

Ujarnya, kes jangkitan COVID-19 tersebut disyaki bukan daripada kalangan frontliners (barisan hadapan) mahupun daripada kalangan rakan kerja yang berhadapan dengan pesakit COVID-19.

Beliau berkata, ia adalah berkait dengan sejarah perjalanan ke luar negara.


Sumber: Astro Awani