BERITA
Doktor Dipenjara 10 Tahun Kerana Tipu Pesakit Demi Hidup Mewah
Seorang pakar reumatologi di Texas, Amerika Syarikat dijatuhi hukuman penjara 10 tahun selepas didapati bersalah menipu ratusan pesakit dengan memberikan diagnosis palsu bagi penyakit kronik semata-mata untuk meraih keuntungan.
Dr Jorge Zamora-Quezada, 68, dari Mission, Texas, turut diarahkan menjalani pengawasan selama tiga tahun selepas dibebaskan serta membayar pampasan sebanyak AS$28.2 juta (sekitar RM133 juta) kepada mangsa dan syarikat insurans.
Menurut Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat, skim penipuan kesihatan yang dijalankan oleh doktor berkenaan selama lebih dua dekad melibatkan tuntutan palsu bernilai lebih AS$118 juta (kira-kira RM556 juta).
Wang itu digunakan untuk membiayai gaya hidup mewah, termasuk memiliki 13 hartanah, sebuah jet peribadi dan kereta mewah Maserati GranTurismo.
Pendakwa raya berkata, Dr Zamora-Quezada sengaja memberi diagnosis palsu seperti rheumatoid arthritis kepada pesakit yang sihat agar dapat mengenakan caj rawatan dan ubat-ubatan mahal yang berisiko tinggi.
Akibat rawatan tersebut, mangsa mengalami pelbagai kesan sampingan serius termasuk strok, kerosakan hati, kerosakan tulang rahang, keguguran rambut dan kesakitan melampau.
“Saya hanya mampu terbaring di atas katil sepanjang masa. Rawatan yang diberi membuatkan saya berasa seperti hidup dalam tubuh orang tua,” kata salah seorang mangsa.
Ada juga mangsa yang terpaksa meninggalkan pengajian kerana kesan sampingan ubat yang melemahkan tubuh.
Dr Zamora-Quezada turut didakwa menindas kakitangan kliniknya, khususnya mereka yang bekerja menggunakan visa J-1, dengan mengugut akan memecat mereka jika enggan mematuhi arahannya.
Beliau hanya mengekalkan pekerja yang sanggup melaksanakan prosedur tidak perlu terhadap pesakit.
Antara mangsa penipuan tersebut termasuk remaja seawal usia 13 tahun yang mendapatkan rawatan di klinik miliknya di Texas Selatan dan San Antonio.
Ketua Bahagian Jenayah Jabatan Kehakiman, Matthew R. Galeotti berkata: “Dr Zamora-Quezada membiayai gaya hidup mewahnya dengan memusnahkan kesihatan pesakit, menipu syarikat insurans dan menyalahgunakan dana awam.”
Mahkamah turut mengarahkan semua harta yang diperoleh hasil kegiatan penipuan itu dilucut hak.
Kes tersebut membawa kelegaan kepada ratusan mangsa dan keluarga mereka, walaupun ramai antara mereka masih menanggung kesan kesihatan jangka panjang akibat rawatan palsu yang diberikan.
Sumber: Sinar Harian