Penyanyi Hael Husaini menegaskan dia mahu Nabila Razali membawakan lagu Peluang Kedua pada pentas Anugerah Juara Lagu 35 (AJL35) yang akan berlangsung Februari ini.

Menurut Hael yang merupakan pencipta lagu tersebut bersama MFMF, dia merasakan Nabila sudah bersedia untuk menyanyikan lagu tersebut.

“Saya rasa Nabila Razali akan menyanyi lagu itu dan dia sudah bersedia. Alhamdulillah menurut doktor juga, keadaan dia juga semakin baik,” ujar Hael kepada Gempak.

Hael ditemui ketika Majlis Pelancaran lagu Lara bersama Haqiem Rusli di The Chow Kit Ormond Hotel, Kuala Lumpur, sebentar tadi.

Malah bagi Hael sendiri, dia mengakui lagu tersebut susah untuk dibawa secara live dan itulah pertama kalinya dia membawakan lagu Peluang Kedua.

“Walaupun bila saya cipta lagu itu kedengaran agak minimal dan saya sendiri kena bawakan lagu tu, baru saya faham perasaan Nabila yang lagu tu sebenarnya susah.

“Saya sebagai penyanyi ganti cuba menyampaikan lagu tersebut kerana keadaan dia yang tidak mengizinkan dan dia berada dalam keadaan tidak boleh menyanyi pada malam itu.

“Dan bila lagu itu layak ke peringkat seterusnya, saya minta anda semua mendoakan Nabila agar dia dapat kembali ke pentas AJL,” ujarnya lagi..

Terdahulu, Nabila memaklumkan penarikan dirinya daripada pentas Separuh Akhir Muzik-Muzik 35 selepas mengalami masalah peti suara dan dinasihatkan oleh doktor untuk berehat.