Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump dan Naib Presiden Mike Pence disahkan negatif COVID-19 selepas seorang anggota tentera yang bertugas di White House disahkan positif virus itu, lapor AWANI.

Semasa pertemuan dengan gabenor Texas di Oval Office pada Khamis, Trump berkata kepada wartawan, beliau tidak banyak berhubungan dengan anggota itu dan akan terus melakukan ujian saringan COVID-19.

Bagaimanapun, Trump dan Pence masih tidak menggunakan topeng penutup mulut dan hidung dalam mesyuarat itu.

Kakitangan yang bekerja bersama presiden di White House telah menjalani ujian saringan COVID-19 namun mereka juga masih tidak menggunakan topeng.

Trump sebelum ini dikritik kerana memberikan mesej yang bercampur dalam menangani wabak tersebut.

Ini berikutan beberapa lawatannya ke kawasan tertentu tidak memakai topeng walaupun pada awalnya beliau menjelaskan mahu memakainya.

Sumber : Astro AWANI