Pengarah Projek: Anchor SPM menyifatkan drama bersiri premium terbaru itu sebagai satu projek istimewa apabila ia membabitkan dua pengarah.

Menurut Razaisyam Rashid, drama Astro Originals kini menampilkan Anwari Ashraf yang sebelum ini terkenal dengan hasil penulisan skrip pecah panggung seperti Polis Evo 1 & 2, PUSAKA, PASKAL: The Movie dan Wira.

“Projek ini sangat special kerana ada ramai ‘brain’ di belakangnya.

“Anwari lebih kepada menjaga story manakala saya dari sudut visual dan pacing.

“Boleh dikatakan Projek: Anchor SPM akan jadi lebih bagus kerana banyak ‘brain di sebalik tabir,” katanya.

Tambahnya lagi, Anwari juga bukan seorang yang biasa-biasa dan orang ramai boleh melihat daripada hasil kerjanya sebelum ini.

“Saya rasa Projek: Anchor SPM ini lebih colorfull, lebih banyak perencah.

“Paling penting jika pengarah lebih dari satu ini adalah keserasian. Tak guna juga kalau ada 10 pengarah tapi tak serasi.

“Kekuatan saya dan Anwari adalah keserasian kami. Nak tahu hasilnya nanti kena tontonlah Projek: Anchor SPM 15 Mac ini,” katanya kepada Gempak.

Untuk rekod, Projek: Anchor SPM mengisahkan tentang sekumpulan pelajar tingkatan lima di Sekolah Tengku Isa Anuar (STIA) di Cameron Highlands, yang merupakan sebuah sekolah berasrama penuh berprestij.

Isu mula tercetus apabila Aizat lakonan Aedy Ashraf terdesak cuba mencari jalan mendapatkan keputusan 8A dalam peperiksaan percubaan SPPM.

Aizat akhirnya berjaya bersekongkol dengan Aaidaa (Daiyan Trisha), dan menghasilkan sebuah pelan untuk membantu rakan- rakan seluruh tingkatan mereka cemerlang SPM melalui strategi meniru besar-besaran.

Drama ini turut dilakonkan oleh Nadhir Nasar (Hilmi), Chubb-E (Botol), Shasha Abedul (Jaja) serta nama-nama besar dalam industri seni tempatan seperti Adlin Aman Ramlie, Hasnul Rahmat Tony Eusoff dan Susan Lankester.

Apapun, saksikan ‘Projek: Anchor SPM akan ditayangkan di saluran Astro Citra pada jam 9.00 malam, bermula 15 Mac ini.

Untuk pilihan alternatif, penonton juga boleh strim di platform Astro GO atau On Demand. Ikuti info dan klip-klip menarik menerusi akaun Instagram, Facebook, Twitter Astro Gempak dan Astro Shaw.