Pelatih pakar bedah Malaysia, Dr. Nur Amalina Che Bakri menerima suntikan vaksin Covid-19 semalam.

Menurut Dr. Amalina, suntikan pertamanya itu merupakan vaksin keluaran syarikat farmaseutikal antarabangsa Pfizer.

"Saya menerima suntikan dos pertama vaksin Covid Pfizer hari ini (semalam). Jom kita semua patuhi panduan Covid, kes semakin bertambah, jumlah kemasukan ke hospital meningkat, katil wad hampir penuh.

"Hospital kini berada dalam keadaan kritikal. Ini bukan masanya untuk kita terus leka. Harapnya tahun depan akan jadi lebih baik," katanya menerusi satu hantaran di Instagram.

Dalam entri tersebut, Dr. Amalina turut berkongsi rakaman foto dirinya ketika menerima suntikan berkenaan di sebuah pusta perubatan di London, United Kingdom.

A post shared by Dr. Amalina | General Surgery (@dramalinabakri)


Di ruangan komen, ketika menjawab pertanyaan pengikutnya, beliau memaklumkan suntikan tersebut perlu diambil sebanyak dua kali.

"Ya ada dua dos, sekurang-kurangnya selepas 21 hari," katanya yang menerima suntikan tersebut secara percuma di bawah Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan (NHS) United Kingdom.

Jelasnya lagi, beliau akan berkongsi pengalaman dirinya selepas mengambil suntikan tersebut dalam perkongsian akan datang di media sosial.

Sebagai info, kes jangkitan Covid-19 di seluruh dunia mencatatkan lebih 82.5 juta kes dengan lebih 1.8 juta kematian direkodkan.