Pakar bedah terkenal, Dr Amalina Che Bakri berkongsi berita gembira kepada pengikut media sosial yang dia kini sedang hamil.

Menerusi kemas kini di Instagram, Dr Amalina berkata, dia mengambil masa yang agak lama untuk berkongsi berita berkenaan kerana media sosial yang merupakan sebuah platform perkongsian boleh bertukar sebagai medium untuk orang menghakimi.

“Saya sangat teruja untuk berkongsi berita indah ini dengan anda semua, saya hamil! Saya mengambil sedikit masa untuk berkongsi perkara ini dengan anda semua. Walaupun media sosial ialah platform yang bagus untuk berkongsi tentang hal ilmiah dan pengalaman positif, ia juga boleh menjadi tempat yang sukar dan menghakimi.

“Bekerja berjam-jam sementara pada masa yang sama mengelolakan PhD saya boleh boleh satu hal yang susah dan meletihkan. Saya melalui trimester pertama yang sukar sehingga awal trimester kedua (terutamanya dengan morning sickness dan muntah) sehingga saya kehilangan berat badan.

“Keletihan juga memainkan faktor. Apabila anda mengendalikan pelbagai tugas, kadangkala ia boleh menjadi cabaran yang sebenar. Perkara-perkara yang dulu boleh saya lakukan tiba-tiba menjadi satu tugas yang sukar,” tulisnya di Instagram.

Menurut Dr Amalina, satu kajian yang diterbitkan menerusi JAMA Surgery menunjukkan yang pakar bedah mengalami dua kali kesukaran untuk hamil dan melahirkan. Katanya, ramai doktor dan pakar bedah melewatkan proses kehamilan dengan harapan dapat mencari masa yang sesuai disebabkan cabaran kerja mereka.

“Saya harap saya mampu mengupas tentang hal ini pada masa akan datang. Keputusan untuk memiliki cahaya mata sekarang adalah kena dengan saya, dan menjadi satu kepentingan untuk tidak membandingkan diri kita dengan orang lain,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Dr Amalina turut mengakui bertuah mempunyai suami yang sentiasa menyokong untuk melalui perjalanan ini bersama-sama.

“Ibu saya sangat mengagumkan dan sentiasa memastikan saya makan dengan cukup, dan dia membekukan banyak makanan Malaysia yang sedap-sedap dalam peti sebelum dia terbang pulang ke Malaysia!

“Alhamdulillah, keadaan semakin baik sekarang dan saya sangat menikmati perjalanan ini. Saya teruja untuk berkongsi pengalaman saya, terutamanya realiti dan cabaran untuk keseluruhan proses, serta perkongsian tentang kehamilan berdasarkan perubatan,” katanya lagi.

Dr Amalina mendirikan rumah tangga dengan suaminya, Alex pada 31 Mac tahun lalu.