Laman Utama
Dr. Azizan Seru Rakyat Malaysia Turun Mengundi, Sanggup Tukar Jadual Balik Ke Melaka! - "Pilih Pemimpin Yang ..."
Mentor usahawan, Datuk Wira Dr. Azizan Osman menggesa rakyat Malaysia turun mengundi demi memilih pemimpin untuk memacu negara.
Namun, Azizan menasihatkan pengundi agar memilih calon yang dapat mewakili mereka.
"Setiap satu undi anda bererti, jika kita pilih pemimpin yang baik ia akan jadi dokongan untuk mewakili sesuatu parlimen dengan orang yang baik.
"Saya bercakap tentang manusia, di mana setiap pengundi memilih orang yang akan menjadi wakil mereka nanti.
"Saya sendiri pun sanggup tukar jadual saya pada hari Sabtu ini untuk pulang ke Melaka, balik mengundi," katanya dalam video yang dimuat naik dalam laman Facebook Azizan Osman Official semalam.
Beliau berucap ketika sambutan ringkas hari kelahirannya yang dihadiri anak didiknya dan usahawan yang berhampiran di pejabat RichWorks International Sdn. Bhd. (RichWorks).
Pemimpin diri sendiri
Azizan menambah, setiap orang juga sebenarnya merupakan pemimpin sejak dalam kandungan ibu lagi.
"Sepertimana hadis Nabi Muhammad SAW, setiap pemimpin bertanggungjawab kepada sesiapa yang mereka pimpin.
"Justeru, kita mempunyai hak untuk memilih maka kita semua juga sebagai pemimpin bertanggungjawab kepada siapa yang diundi.
"Jika kita rosakkan undi, anda sama seperti pemimpin yang tak bertanggungjawab.
"Jadi pilihlah mereka yang akan berikan kebaikan kepada Islam sebab saya orang Islam dan mereka yang akan menyokong dan mendokong kebaikan agar negara ini dapat hidup dengan aman sejahtera," ujarnya.
Peluang hidup lepas Covid-19
Terdahulu, Azizan juga memanjatkan rasa syukur atas segala yang diterima hingga hari ini termasuk masa 'bonus' agar dapat terus memberi manfaat dan membantu orang ramai khususnya usahawan meningkatkan tahap ekonomi dan kewangan mereka.
Pada awal tahun lalu, Azizan dijangkiti Covid-19 bersama 31 ahli keluarganya hingga ibu mertuanya meninggal dunia malah beliau sendiri hampir saja maut selepas berada pada tahap kritikal hingga doktor menyatakan sudah tiada harapan.
Must-Watch Video