Hiburan
Dr Che Hafiz & Lufya Omar Sah Bercerai Talak Satu
Bekas suami kepada penyanyi Lufya Omar, Dr Che Hafiz mengesahkan rumah tangga mereka sudah berakhir selepas bercerai talak satu pada 17 Jun lalu di Mahkamah Rendah Syariah Daerah Petaling, Shah Alam.
Menurut Dr Che Hafiz atau nama sebenarnya Dr Che Muhammad Hafiz Che Baharum berharap agar tiada lagi mana-mana pihak yang mengaitkan dia dengan Lufya selepas ini memandangkan mereka bukan lagi pasangan suami isteri.
"Sebenarnya, saya dan Lufya sudah sah bercerai pada 17 Jun lalu di hadapan hakim di mahkamah. Saya berharap sangat selepas ini tiada lagi pihak yang cuba mengaitkan saya dengan dia sebab kami bukan lagi suami isteri.
"Saya beritahu perkara ini sebab taknak ada timbul salah faham antara mana-mana pihak atau berlaku prasangka buruk terhadap saya. Apa-apa saya minta maaf dan harap semua pihak memahami,” katanya kepada Gempak.
Dalam pada itu, Dr Che Hafiz menyatakan dia tetap akan berusaha untuk menjalankan tanggungjawabnya sebagai seorang bapa dengan sebaik mungkin.
"Soal anak, saya tetap sentiasa berusaha untuk jalankan tanggungjawab sebaik yang mungkin. Siapa tak sayang anak kan. Itu darah daging saya. Saya berharap ia tidak dihalang oleh Lufya," katanya lagi.
Sebelum ini, Lufya ada memuat naik sebuah posting berkenaan dengan isu seorang suami tidak menjalankan tanggungjawab terhadap anak di Instagram (IG) miliknya.
Oleh sebab itu, Dr Che Hafiz memilih untuk mendedahkan perkara sebenar kepada umum.
Dr Che Hafiz dan Lufya mendirikan rumah tangga pada 26 November 2016 dan dikurniakan seorang cahaya perempuan, Laana Haura yang kini berusia tiga tahun.