Ketua Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah yang sedang menjalani kuarantin di rumah akan mengadakan sidang media secara langsung dari kediamannya.

Laman rasmi Facebook Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerusi sebuah hantaran memberitahu, Noor Hisham dijangka akan mengadakan sidang media tanpa kehadiran petugas media pada 5.30 petang ini.

Mengulas lanjut perkara itu, Dr Noor Hisham berkata, beliau tetap akan menjawab soalan daripada media walaupun secara maya.

"Kita boleh mengadakan sidang media secara maya setiap hari dan saya tetap akan menjawab soalan daripada media,” katanya.

Dr Noor Hisham kini menjalani kuarantin kendiri di kediamannya berikutan beliau turut menghadiri mesyuarat di Jabatan Perdana Menteri pada Sabtu lepas yang dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang disahkan positif COVID-19.

Susulan pengesahan itu, Dr Noor Hisham membatalkan sidang media yang dijadualkan semalam.

Sejak COVID-19 melanda negara akhir Disember lalu, Dr Noor Hisham dan pasukannya mengadakan sidang media secara rutin bagi memaklumkan mengenai situasi semasa pandemik COVID-19 di KKM, Putrajaya.

Sidang media atau sebarang perkembangan terkini mengenai Covid 19 boleh diikuti di https://www.facebook.com/kementeriankesihatanmalaysia.