Foto Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah ketika menerima Ijazah Fellowship Ad Hominem dari The Royal College of Surgeons of Edinburgh (RCSEd) kerana dikaitkan dengan upacara Freemasons dan keagamaan adalah tidak benar serta fitnah.

Menerusi laman sosial Facebook, beliau menyangkal tohmahan itu dalam satu kenyataan ringkas.

Malah, beliau turut mendoakan agar segala urusannya dipermudahkan demi negara dan dijauhi daripada sebarang fitnah media sosial.

Tidak hanya itu, pihak RCSEd yang diwakili oleh Profesor Datuk Dr Hanafiah Harunarashid turut berkongsi hantaran Facebook yang menjelaskan perkara sebenar.

"Baru-baru ini saya terbaca fitnah besar, di mana gambar Tan Sri Dr Noor Hisham di atas (merujuk gambar di Facebook) dikaitkan dengan upacara Freemasons dan keagamaan. Ini adalah tidak benar sama sekali.



"Gambar beliau (Dr Noor Hisham) adalah bersama Presiden, Professor Michael Lavelle Jones. Saya menjadi saksinya dan telah memohon RCSEd membuat kenyataan," kata Dr Hanafiah.

Ujarnya, beliau membuat kenyataan itu bukan sebagai kawan atau rakan pakar bedah, tetapi sebagai ahli Lembaga Pengarah RCSEd Malaysia dan bekas penasihat antarabangsa RCSEd.

"Saya sebagai seorang manusia biasa yang ingin menyatakan kebenaran. Kalau ada yang salah perlu ditegur supaya kita semua dijauhi dari fitnah.

"Saya menyeru kepada semua untuk menyemak fakta sesuatu bahan yang diterima sebelum disebarkan. Sama-samalah kita berdoa agar ALLAH SWT memberikan hidayah dan pertunjuk kepada kita semua," jelasnya lagi.

Dalam hantaran itu lagi, beliau turut menyatakan Dr Noor Hisham menerima anugerah itu sebagai mengiktiraf kepakarannya sebagai pakar bedah tersohor di bidang pembedahan endokrin dan tiada kaitan dengan upacara Freemasons dan keagamaan.

RCSEd juga menganugerahkan fellowship kepada tokoh-tokoh yang unggul dari seluruh pelusuk dunia.

Anugerah yang tertinggi adalah Ijazah fellowship kehormat, seperti yang telah diterima oleh Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir.

Selain itu, anugerah itu juga diterima oleh Presiden College of Surgeons Malaysia dan Dekan Fakulti Perubatan Universiti Malaya, Profesor April Roslani.

Difahamkan, RCSEd adalah institusi pembedahan yang tertua di dunia dan kolej ini berpusat di Scotland, United Kingdom dan mempunyai felo serta ahli lebih 25,000 orang pakar bedah dari seluruh dunia.


Sumber: Sinar Harian