Doktor selebriti dan pencipta kandungan, Dr Say Shazril meluahkan rasa gusar apabila ada dalam kalangan remaja yang merasakan pendidikan itu tidak penting.

Pelajaran penting, jangan hanya fokus jadi influencer


Dr Say menerusi hantaran terbaharu di Instagram miliknya berkata jangan mudah terpedaya dengan perkongsian yang menayangkan kehidupan mewah di media sosial sehingga menyebabkan mereka bercita-cita ingin menjadi pempengaruh dan mengabaikan pelajaran.

“Tak pernah saya kongsi keputusan SPM saya tapi hari ini tergerak hati nak kongsi keputusan SPM tahun 2005 saya dahulu.

“Kenapa sekarang terhegeh nak kongsi? Sebab saya gusar melihat adik-adik zaman sekarang yang merasakan pendidikan tidak penting.

"’Belajar tinggi-tinggi nanti kerja bawah orang juga’, belajar tinggi-tinggu nanti tak ada kerja juga’. Dik, pernah dengar tak ilmu membentuk peribadi?

“Kalau adik perhatikan yang banyak bising dekat sosial media, yang kaki maki hamun caci itu ini kebanyakannya tin-tin kosong.

“Sebab rata-rata orang berilmu ni dia lebih memilih untuk berdiam diri, untuk sibukkan diri dengan perkara yang lebih penting contonya memajukan diri atau keluarga.

“Janganlah sebab beberapa founder yang kaya-raya atau influencer yang menayangkan gaya hidup mewah membuatkan adik-adik nak jadi YouTuber, TikToker atau influencer dan menepikan pembelajaran.

“Kita hidup ni lama dik dan ada pasang surutnya. Contohnya adik jadi TikToker selepas itu adik tersalah buat posting yang membuatkan adik hilang semua pengikut adik, lepas itu adik nak hidup macam mana?” jelasnya.

BERITA TRENDING: Isu Influencer Lebih ‘Kekwat’ Daripada Artis, Dr Say: “Saya Perlu Setuju Dengan Benda Ini Sebab…”

Jangan putus asa untuk belajar


Dalam hantaran yang sama, Dr Say juga juga mengatakan sekiranya mendapat keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang kurang memuaskan, jangan putus ada kerana ia tidak bermakna perjalanan mereka terhenti di situ.

“Sekiranya adik ada ilmu dalam bentuk diploma/ degree/ masters/ PHD, adik bila-bila masa boleh pulang kepada ilmu adik tadi.

“Ya, SPM bukan segala-galanya tapi zaman sekarang tak ada UPSR, tak ada PMR jadi sepanjang 11 tahun adik belajar dari sekolah rendah ke sekolah menengah, SPM ini sahaja akan menjadi kayu pengukur adik.

“Kesimpulannya, tak kira apa jua keputusan SPM adik sama ada baik atau buruk, tepukan untuk adik kerana berjaya memegang Sijil Pelajaran Malaysia.

“Sebab 2022, 30 ribu pelajar tak ambil SPM cukup mengecewakan. Apa jua keputusan yang adik perolehi ada hikmah di sebaliknya.

“Kalau teruk itu tidak bermakna ia terhenti di situ, teruskan usaha sambung pelajaran, begitu juga kalau cemerlang, teruskan usaha sambung pelajaran supaya in the end kita boleh berbakti.

“SPM ini adalah tiket kepada arah tuju adik-adik selepas ini. Abang dulu dapat keputusan macam ni yang membenarkan abang buat medik,” kongsinya.

Berikut merupakan perkongsian penuh Dr Say:

A post shared by Dr Shazril Shaharuddin (@say_shazril)


Terdahulu, umum sedia maklum keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi tahun 2023 telah pun diumumkan pada Isnin.

BERITA TRENDING: Zarina Zainuddin, Kak KM & Datuk Hattan Kongsi Pencapaian Cemerlang Anak-Anak Dalam SPM



Antara selebriti yang berkongsi kegembiraan semasa mengambil keputusan SPM anak-anak adalah Datuk Anne Ngasri, Zarina Zainuddin, Rahim Sepahtu, Datuk Hattan dan usahawan, Kak KM