Kegigihan seorang warga emas yang tular menjual bola golf terpakai untuk mencari rezeki telah mendapat perhatian Menteri Agama, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Menerusi akaun Twitter, Dr Zulkifli berkongsi beliau telah bertemu dengan lelaki bernama En. Jaafar Leman, 66 bersama isterinya yang kelainan upaya (OKU).

“Saya dimaklumkan tular di media sosial gambar seorang lelaki yang menjual bola golf terpakai berdekatan Tiara Melaka Golf & Country Club.

“Kita sedia maklum bahawa permainan golf masih tidak dibenarkan pada masa ini. Namun bagi En. Jaafar, mungkin ini satu-satunya mata pencarian beliau untuk keluarga jua isteri beliau yang merupakan OKU. Ke mana-mana beliau pergi dengan motosikalnya, isteri sentiasa dibawa bersama.

“Bola golf ini dikutip sendiri dan sekiranya jatuh ke dalam tasik berdekatan, beliau akan mendapatkan bantuan pihak yang lain untuk menyelam dan mendapatkan bola golf tersebut. Ia dijual dengan harga RM20 bagi 10 biji bola golf.

“Saya tidak pandai main golf, tapi sebagai menyokong usaha beliau untuk mencari rezeki, kami beli 10 bungkus bola golf. Sebelum dan selepas saya datang, nampak ramai yang singgah untuk beli bola golf daripada beliau.

“Moga Allah SWT luaskan rezeki beliau. Moga Allah SWT pulihkan Malaysia daripada wabak COVID-19. Ini kisah pengorbanan seorang suami, seorang ketua keluarga,” coretnya.

Sebelum ini, Jaafar memaklumkan dia hanya dapat menjual sebungkus sahaja bola golf dengan harga RM30 bulan lalu namun sudah memadai buatnya untuk menyara hidup.

Terdahulu, kisah warga emas ini tular kerana tidak putus asa meneruskan rutin hariannya menjual bola golf terpakai demi sesuap nasi meski pun kelab-kelab golf tidak beroperasi hampir dua bulan ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).