Borak & chill dari isu semasa ke topik viral. Tonton rancangan bual bicara di SeeNI sekarang!

Drama Bersiri Kampong Pisang Bersiri-siri, 16 & 17 Puasa Bergabung, Mamat Khalid Kembali Dengan Filem 18 Puasa Di Kampong Pisang!

Azwa Rahman
13/04/2021 12:50 MYT
Dua naskhah komedi Kampung Pisang serta 16 dan 17 Puasa hasil karya pengarah terkenal Mamat Khalid akan bergabung menjadi sebuah filem 18 Puasa Di Kampong Pisang.

Menurut Mamat, filem 18 Puasa Di Kampong Pisang berbeza dengan 16 dan 17 Puasa tetapi masih menerapkan nilai hiburan yang sama.

“Terpulang kepada penonton bagaimana mahu menilai dan menerima filem ini. Apa yang boleh saya katakan, jalan cerita dan babak yang dipersembahkan mudah untuk penonton faham kerana ia memang berlaku di sekeliling kita atau memang terjadi pada diri sendiri.

“Sebagai manusia, mungkin kadang-kadang kita alpa dengan tanggungjawab sebagai seorang muslim, jadi diharap karya ini dapat mengajak penonton untuk refleksi diri lebih-lebih lagi dalam bulan mulia, bulan Ramadan,” jelas Mamat menerusi satu kenyataan yang di hantar.

Lebih menarik lagi, 18 Puasa Di Kampong Pisang memberi penekanan tentang hikmah berpuasa, zakat, fungsi Baitulmal, rukun islam, nilai murni bersedekah, solat taubat dan banyak lagi.

Filem ini masih mengekalkan pelakon Kampong Pisang Bersiri-siri antaranya Barkoba (Bell Ngasri), Pak Din (Kazar Saisi), Pak Karim (Mat London), Pak Jabit (Aziz M Osman), Cik Purnama (Dewa Sapri), Daud M (Joey Daud) Faguha Jabar (Rashid Othman), Ahmad Yasin (Ahmad Yasin) dan Yah Kuchei (Afea Deana).

Selain itu, filem ini turut dimeriahkan dengan penampilan karakter istimewa seperti Tyson 1 (Namron), Tyson 2 (Jaafar Onn), Kiambang (Siti Elizad Mohamad Sharifuddin), Ustaz Kazim (Datuk Ustaz Kazim), Ayahanda Rani Kulop (Rani Kulop), Manap Sengau (Yeop Hitler), Penjaga Neraka (Man Raja Lawak) dan ramai lagi.

Memaparkan hiburan santai untuk seisi keluarga, 18 Puasa Di Kampong Pisang masih mengekalkan subjek utama ‘tidak berpuasa’.

Malah, mesej yang cuba disampaikan oleh pengarah Mamat Khalid kali ini lebih berat dan pedas yang mampu menjentik hati untuk merenung kembali setiap tingkah laku manusia.

Filem 18 Puasa Di Kampong Pisang mengisahkan sekumpulan penduduk Kampong Pisang masih melakukan kemungkaran di bulan Ramadan.



Ketika Barkoba menikmati makanan di siang hari dalam semak samun, dia telah didatangi si iblis yang membawanya kembali ke masa silam untuk mengimbau setiap tindak tanduk kesalahan yang dilakukan sepanjang hidupnya.

Barkoba mengabaikan zakat, menganaiyai orang lain, mengajak melakukan kemungkaran serta menyebabkan kecederaan dan kematian Kiambang.

Dapatkah Barkoba memperbetulkan kesalahannya yang lalu? Kembali ke dunia yang nyata dan berjayakah Barkoba menyelamatkan Kiambang?

Tonton filem komedi sarat mesej ini Di Pawagam Rumah Anda, Astro First, saluran 480 mulai 15 April 2021 ini.


#Astro First #mamat khalid #Barkoba #18 Puasa Di Kampong Pisang
;