Berita
Drama Gandingan Farid Kamil & Lisa Surihani Ditayangkan Esok! Ini Trivia Menarik Tentang Pelindung Seorang Puteri
Drama gandingan aktor Farid Kamil dan pelakon Lisa Surihani berjudul Pelindung Seorang Puteri bakal menemui penonton bermula esok.
Pelindung Seorang Puteri bakal ditayangkan setiap hari Isnin hingga Khamis, jam 10.00 malam mulai 28 Julai 2020 menerusi slot Megadrama secara eksklusif di saluran Astro Ria HD (104) dan Astro Ria (124).
Gandingan mereka dalam slot Megadrama ini pasti dapat mengubati kerinduan peminat yang mahu melihat mereka ‘bersatu’ kembali.
Apatah lagi, selepas 10 tahun pasangan hero dan heroin Malaya, Farid Kamil & Lisa Surihani ini bakal digandingkan dalam sebuah drama 16 episod ini.
Tanpa buang masa, Gempak senaraikan 7 perkara menarik mengenai drama ini:
#1 Sutradara Yusry Abdul Halim sekali lagi bekerjasama dengan isterinya, pelakon Lisa Surihani menerusi drama ini selepas telefilem 6 Hari yang ditayangkan menerusi saluran Astro Ria dan Astro Citra baru-baru ini
#2 Drama Pelindung Seorang Puteri juga turut mempertaruhkan tiga pelakon handalan selaku tonggak utama iaitu Lisa Surihani, Farid Kamil dan Sharnaaz Ahmad
#3 Selepas 10 tahun, Lisa Surihani kembali bergandingan dengan Farid Kamil selaku teraju utama untuk drama Pelindung Seorang Puteri. Kali terakhir mereka disatukan adalah menerusi filem Lagenda Budak Setan pada tahun 2010. Sebelum itu, mereka juga pernah bekerjasama menjayakan filem Semerah Cinta Stiletto, I’m Not Single serta banyak lagi
#4 Lokasi utama penggambaran drama Pelindung Seorang Puteri telah dijalankan di sekitar Kuang, Rawang, Shah Alam dan Bangi serta mengambil masa lebih kurang 36 hari (sebelum perlaksanaan PKP) dan 14 hari (selepas perlaksanaan PKPP) untuk diselesaikan.
#5 Cabaran terbesar sepanjang penghasilan drama Pelindung Seorang Puteri ialah penggambaran yang tertangguh ketika tempoh kritikal sewaktu arahan PKP dikeluarkan. Namun, penggambaran drama ini akhirnya dapat disiapkan mengikut garis masa yang diberikan selepas mendapat kelonggaran daripada pihak berkuasa sewaktu tempoh PKPP dilaksanakan walaupun terikat dengan SOP yang ketat.
#6 Terdapat beberapa bahagian dalam skrip utama dan jalan cerita asal yang terpaksa diolah semula agar lebih praktikal dan bersesuaian bagi mematuhi syarat SOP yang dikenakan untuk menyiapkan drama ini. Antaranya termasuklah ‘scene’ kenduri yang melibatkan perhimpunan orang ramai.
#7 Selain itu, produksi juga terpaksa berdepan dengan cabaran untuk mendapat kebenaran meneruskan penggambaran di lokasi terpilih berikutan syarat SOP yang ketat. 8. Lagu duet berentak balada Terlanjur Cinta nyanyian penyanyi terkenal Hael Husaini dan Cakra Khan ciptaan David Sam dan Irwan Sutanto diangkat sebagai lagu tema untuk drama bersiri ini.
Must-Watch Video