HIBURAN
Drama Raya 'Hayati' Angkat Isu Kesihatan Mental - "Malam Raya Yang Sepatutnya Menjadi Detik Bahagia Bertukar Tragedi..."
Stesen radio Suria FM tampil dengan drama raya 2025 bertajuk Hayati, sebuah karya yang menyelami emosi dan perjalanan jiwa dalam menghadapi ujian kehidupan.
Menurut Pengurus Besar Suria FM, Roslinda Abd Majid (DJ Lin), berbeza dengan naskhah raya sebelum ini, drama berdurasi 40 minit ini mengangkat genre Psikologi Emosional Raya, menampilkan kisah yang menyentuh hati dan penuh makna.
"Sejak tahun 2019, Suria FM telah menerbitkan pelbagai drama raya yang menyentuh jiwa. Tahun ini, kami ingin membawa satu kelainan dengan mengetengahkan elemen psikologi dan emosi yang lebih mendalam.
"Skrip drama ini telah mula digarap sejak September 2024 dan menampilkan barisan pelakon hebat seperti Sherie Merlis, Hasnul Rahmat, Cik Man, Anas Ridzuan dan Hawra Jamalullail. Turut memeriahkan drama ini adalah penyanyi popular Ara Johari dan Adam ZBP serta penampilan istimewa beberapa pempengaruh terkenal," katanya.
.jpg)
.jpg)
Babak-babak utama dirakam pada waktu malam hingga ke awal pagi, termasuk adegan kompleks yang melibatkan sebuah bas dan memerlukan tiga hari untuk diselesaikan.
Faktor cuaca yang tidak menentu turut menjadi cabaran besar kepada tenaga produksi yang terdiri daripada lebih 100 individu termasuk pelakon dan kru.
.jpg)
Hayati mengisahkan tentang perjalanan malam raya yang sepatutnya menjadi detik bahagia bertukar menjadi tragedi yang mengubah kehidupan beberapa individu. Dalam usaha untuk meneruskan kehidupan, mereka perlu berhadapan dengan trauma, perasaan bersalah dan pencarian makna baharu dalam hidup. Batas antara realiti dan ilusi menjadi kabur, mencetuskan konflik emosi yang mendalam.
Bagi melengkapkan kisah yang dipaparkan, lagu bertajuk Pentas Sandiwara nyanyian Fugo dipilih sebagai lagu tema rasmi drama ini.
Drama Hayati boleh ditonton di Facebook Suria FM dan YouTube Suria TV.
Must-Watch Video