Siri original Gempak popular, Tha Maid buat pertama kalinya bakal ditayangkan di stesyen televisyen Filipina.

Drama bersiri bergenre komedi thriller itu akan ditayangkan kepada penonton tempatannya di siaran televisyen di negara berkenaan pada 20 Jun ini (esok) jam 11.30malam.

The Maid yang dibarisi pelakon popular Norman Hakim, Mira Filzah, Sherry Alhadad, Datin Eina Azman dan ramai lagi itu akan dialih bahasa ke Tagalog sesuai untuk tayangan penonton tempatan di negara itu.

The Maid musim pertama telah pun ditayangkan di Astro Ria pada Mac tahun lalu.

Karya yang mendapat sentuhan daripada pengarah filem pecah panggung ‘Bikers Kental’, iaitu Helmi Yusof dan terbitan oleh Michael Ang itu bersiaran selama setengah jam sebanyak 10 episod.

The Maid menampilkan pelakon-pelakon seperti Norman Hakim ,Mira Filzah, Sherry Al Hadad, Datin Paduka Eina Azman, Ezzaty Abdullah, Ieda Moin, Nadya Shahera, Zarina Zainoordin, pengacara Gempak TV iaitu Isha Norsham dan Siti Khadijah.

The Maid mengisahkan seorang lelaki bernama Jayden seorang penulis novel yang popular. Di mata masyarakat, Jayden dan empat isterinya hidup dengan penuh harmoni dan kasih sayang tetapi sebenarnya tidak. Setiap daripada mereka membenci antara satu sama lain dan hanya berpura-pura bahagia.

Bagaimana pun, hanya pembantu rumah mereka sahaja tahu cerita sebenarnya. Konflik timbul bermula dengan kematian isteri keempat Jay iaitu Elisa lakonan Mira Filzah.

Elisa dijumpai mati ketika Jay dan isteri-isterinya mengadakan makan malam dan ketiga-tiga isteri Jay yang lain merupakan suspek pembunuhan.

Penyiasatan bermula dan rahsia demi rahsia milik isteri Jay telah dibongkar. Situasi menjadi lebih misteri apabila Citra lakonan Siti Khadijah Halim muncul sebagai pembantu rumah yang baru.