Laman Utama
Dron Daun Nanas Raih Perhatian Juri, Putra UAV 2.0 Pemenang Minggu Ke-7 INNOVATHON
Produk Putra UAV 2.0 diumumkan sebagai pemenang pada minggu ketujuh program INNOVATHON yang disiarkan Sabtu lalu.
Menerusi pembentangan, Putra UAV 2.0 dipersembahkan sebagai sebuah dron yang dihasilkan daripada fiber daun nanas. Kualiti dron adalah sama dengan dron yang diperbuat daripada besi dan bahan lain, dan ia merupakan dron mesra alam sekiranya terhempas di kawasan laut atau hutan.
Hal ini kerana, Putra UAV 2.0 boleh terlupus sendiri secara semula jadi dalam masa 2 minggu. Pembinaan Putra UAV 2.0 dapat membantu meningkatkan ekonomi peladang nanas dan telah menerima perhatian daripada negara Sepanyol dan Ukraine yang berminat untuk menjalin kerjasama.
Pembangunan Putra UAV 2.0 diketuai oleh Navaneetha Krishna A/L Chandran, berusia 24 tahun.
INNOVATHON merupakan sebuah rancangan realiti TV inovasi pertama di Malaysia, inisiatif bersama Kementerian Ekonomi dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi dengan kerjasama Astro.
Setiap minggu, lapan inovator akan berentap dari minggu pertama hingga minggu ketujuh. Justeru, setiap inovator terbaik mingguan akan terus melayakkan diri ke pentas akhir bagi merebut gelaran juara INNOVATHON yang pertama.
Idea inovatif dan kreatif para inovator diadili oleh lima orang panel juri profesional termasuklah Menteri Ekonomi; YB Rafizi Ramli, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi; YB Chang Lih Kang, selebriti dan usahawan terkenal; Fazura, serta dua lagi pemain industri sebagai juri profesional jemputan. Selain itu, 100 orang juri awam daripada pelbagai latar belakang yang berperanan sebagai pengguna akan menggalas tanggungjawab sebagai juri awam.
Pentas akhir INNOVATHON bakal menyaksikan para finalis sekali lagi membentangkan produk inovasi mereka dengan penambahbaikan yang lebih menarik bagi merebut hadiah wang tunai RM100,000 dan hadiah pelaburan sokongan pembangunan perniagaan bernilai sehingga RM1 juta ringgit.
Program realiti TV yang dihoskan oleh pengacara ternama Awal Ashaari dan Datin Lisa Surihani ini bersiaran mulai 15 Julai 2023, jam 9 malam di saluran Astro RIA dan Astro GO.
Must-Watch Video