Penyanyi Bob Yusof, 39, akui pernah berdepan fasa naik turun sepanjang berada dalam industri hiburan selama 16 tahun.

Menurut Bob, dia pernah berdepan saat sukar apabila tidak mendapat sebarang undangan persembahan selama dua bulan.

"Perjalanan saya sepanjang bergelar penyanyi selama 16 tahun ini ada naik dan turunnya.

"Pernah berdepan saat-saat sukar sehingga dua bulan tidak mendapat sebarang undangan persembahan," katanya kepada Gempak.

Tambah pemilik nama Yusrizan Usop berkata tidak wujud perkataan putus asa dalam kamus hidupnya.

"Bagaimanapun, saya tidak pernah berputus asa untuk terus berada dalam indusri kerana inilah minat saya. Menyanyi adalah kerja saya.

"Saya percaya jalannya akan sentiasa ada jika kita tidak putus usaha.

"Alhamdulillah selepas melalui saat-saat sukar, rezeki saya sentiasa menerusi pelbagai bentuk," katanya lagi.

Selepas dua tahun, akhirnya Bob tampil dengan buah tangan baharu iaitu single Dan Hari Ini.

Lagu Dan Hari Ini merupakan ciptaan komposer terkenal Sharon Paul bersama Hanz Guo Hang dan mendapat sentuhan penulis lirik popular, Rudy Imran.

Lirik video Dan Hari Ini sudah dilancarkan sejak 28 Februari lalu dan boleh ditonton melalui saluran YouTube Indigital Music.

Selain itu, ia juga boleh didengari di semua platform digital seperti Apple Music, Spotify, Joox dan Deezer.