HIBURAN

Dua Kali Bercerai, Zehra Zambri Berdamai Dengan Takdir - "Mati-Matian Saya Berjuang, Siapa Yang Nak..."

Amri Hassan 20/08/2025 | 13:55 MYT
Penyanyi Zehra Zambri sekali lagi melalui episod duka apabila rumah tangganya dengan Nur Mohd. Iqwan Samsudin berakhir di Mahkamah Rendah Syariah Hulu Langat, pada Rabu, selepas sah bercerai talak satu.

Bagi Zehra, perceraian kali kedua ini lebih berat untuk ditanggung berbanding perkahwinan pertamanya yang singkat.

“Siapa yang nak bercerai. Perkahwinan pertama saya dulu pun sangat singkat tapi kali ini lebih berat.

"Sebab yang ini saya bermati-matian berjuanglah tetapi ini semua ketentuan Allah SWT.

"Saya dah mula lapang dada dan terus berjalan ke depan, buat masa ini hanya anak sahaja harta yang saya ada,” katanya.

Mengulas lanjut, bekas peserta Gegar Vaganza 11 itu berkata kekuatan dirinya kini hanya tertumpu kepada anak perempuan tunggalnya yang baru berusia tiga tahun.

“Saya mahu menjaga mental anak dan diri saya sendiri.

"Sebab itulah saya nekad untuk ambil jalan bersendiri,” jelasnya.

Perpisahan ini berlaku selepas lima bulan melalui prosiding mahkamah, berikutan tuntutan cerai secara fast track yang difailkan Zehra pada Mac lalu.

Pasangan tersebut mendirikan rumah tangga pada 11 November 2021 dan dikurniakan seorang anak perempuan.

Sebelum ini, Zehra pernah berkahwin dengan Wan Muhammad Nurhariz Hariri pada 14 Oktober 2017, namun hanya bertahan enam bulan sebelum berpisah pada April 2018.

Mohd. Iqwan juga mempunyai sejarah perkahwinan terdahulu dan memiliki dua anak daripada ikatan tersebut.
#Penyanyi #cerai #Zehra Zambri #GV11 #Nur Mohd Iqwan