Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Dua Kanak-Kanak Maut Strok Haba, Seorang Hangus Buah Pinggang, Seorang Lagi Paru-Paru Kecut

Maliah Surip
28/04/2023 05:33 MYT
Cuaca panas melampau di Malaysia beberapa minggu ini membawa khabar duka apabila dua kanak-kanak dilaporkan maut dipercayai kerana strok haba.

Kanak-kanak pertama yang dilaporkan meninggal dunia kesan cuaca panas melampau adalah seorang budak lelaki berusia 11 tahun yang berasal dari Kelantan.

Berita kematian Muhamad Syamil Aqil dikatakan meninggal dunia jam 9.27 pagi semasa sedang mendapatkan rawatan di sebuah klinik.

Menerusi pengakuan ibunya, yang dikenali sebagai Wanie yang tular di media sosial, hasil post mortem menunjukkan anak kesayangannya meninggal dunia kerana mengalami strok haba dan dehidrasi.

“Doktor yang merawat memberitahu buah pinggang, jantung anak sudah hangus. Di dalamnya sudah kosong, air dan darah dalam badan sudah kering," tulisnya dalam perkongsian yang menarik perhatian warganet.

Wanie juga mengatakan, anaknya ‘pergi’ dengan sekelip mata apabila masih kelihatan sihat, cergas dan sempat bermain basikal menyambut Aidilfitri pertama dan kedua.

Namun kesihatannya merosot termasuk mula demam dan cirit birit pada hari raya ketiga sebelum dijemput Ilahi.

Menurut Wanie dia berkongsi kisah tersebut untuk meningatkan para ibu bapa agar memantau keadaan anak-anak bermain dalam cuaca panas melampau pada hari percutian ini.

Seorang lagi mangsa maut dipercayai kerana strok haba adalah kanak-kanak perempuan berusia satu tahun tujuh bulan, Nur Imani.

Bapanya, Ahmad Faris Fazli Mohd Nasir, menceritakan anak tunggalnya itu mulai batuk sejak seminggu lalu dan mengalami simptom muntah-muntah beberapa hari selepas itu.

"Punca kematian hasil 'post-morterm' adalah disebabkan strok haba. Air dalam badan semua kering, paru-paru sudah kecut semua," katanya seperti dilaporkan AWANI.

Sementara itu, punca kematian dua kanak-kanak berusia 11 dan setahun tujuh bulan yang dilaporkan meninggal dunia dipercayai akibat strok haba masih lagi dalam siasatan.

Perkara itu disahkan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) Datuk Dr Zaini Hussin menerusi aplikasi WhatsApp kepada Bernama hari ini.
#Meninggal Dunia #Kanak-Kanak #Maut #Strok Haba
;