Penyanyi dangdut, Ani Maiyuni meluahkan rasa kesal apabila kes yang melibatkan anak sulungnya, Wirda Viviana Zairi yang dibuli ketika tinggal di asrama sebuah sekolah di Titiwangsa, Kuala Lumpur masih tidak mempunyai sebarang perkembangan.

"Saya buat laporan dengan harapan ada sesi perbincangan secara baik antara pihak sekolah, pelaku dan kami. Tapi sehingga kini, sudah mencecah dua minggu hal ini terjadi, tidak ada apa-apa tindakan.

"Ibu bapa pelaku pun tiada pendekatan atau ambil tindakan untuk berbincang. Tiada seorang pun yang datang mahu berjumpa atau berbincang.

"Kalau betul bersalah, mereka minta maaf, kita pun rasa lega. Tapi, tiada seorang pun yang datang nak perkara ini diperbaiki," kata Ani ketika ditemu bual oleh HLive.

BACA: "Anak Ditutup Mulut Dengan Kain & Ditampar Serta Disepak Berulang Kali" - Ani Maiyuni

Tambah Ani, anaknya juga masih belum ditukarkan ke sekolah lain.

"Perkara itu belum dilakukan kerana kes masih berjalan. Kami sendiri tak boleh sewenang-wenangnya bertindak untuk menukar sekolah.

"Kita kena selesaikan perkara ini dahulu, baru boleh tahu tindakan selanjutnya. Sementara itu, saya sentiasa memberi semangat kepada anak saya," kata Ani.

Ani mendakwa anaknya didera sekumpulan pelajar gara-gara enggan menceritakan kisah peribadi selepas bertemu ibu bapa saudaranya di sekolah berkenaan.

Lebih memilukan hati, mulut anak Ani ditutup dengan kain bagi mengelakkan warden mendengar jeritannya.

Untuk berita hiburan yang padat dengan informasi, jangan lupa saksikan HLive! yang bersiaran pada setiap Isnin hingga Sabtu pada jam 8.30 malam di Astro Ria (104) dan Astro Ria HD (123).