BERITA

Dua Remaja Maut Dirempuh Kereta Langgar Lampu Isyarat

Gempak 07/03/2025 | 23:25 MYT

Dua maut dirempuh sebuah kereta yang gagal berhenti di persimpangan lampu isyarat merah di Jalan Persiaran Senawang, Negeri Sembilan pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din berkata, kemalangan sekitar jam 8. 30 malam itu membabitkan tiga kenderaan iaitu kereta Honda Jazz serta dua motosikal jenis Modenas Kriss dan Honda Vario.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila kereta dipandu seorang remaja lelaki berumur 18 tahun bersama seorang penumpang lelaki berumur 17 tahun sedang bergerak dari arah Senawang menuju ke Paroi.

"Apabila tiba di lokasi kejadian, pemandu kereta Honda Jazz dipercayai telah gagal berhenti di lampu isyarat merah lalu melanggar dua buah motosikal datang dari arah sebelah kiri.

"Akibat kemalangan ini, penunggang dan pembonceng motosikal jenis Modenas Kriss masing-masing berumur 15 dan 16 tahun mengalami parah di bahagian kepala telah disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian," katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.

Pada malam Khamis, tular video kejadian memaparkan kereta dipandu laju cuba mengejar lampu isyarat yang sudah mahu bertukar merah akibat tindakan itu, berlaku pelanggaran dengan motosikal mangsa sebelum terbabas.

Mohamad Hatta berkata, dalam kejadian itu, pemandu dan penumpang kereta Honda Jazz serta penunggang dan pembonceng motosikal jenis Honda Vario mengalami kecederaan parah telah dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban.

Sementara itu, mayat mangsa telah dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Rembau untuk urusan bedah siasat.

"Individu mempunyai maklumat mengenai kejadian ini boleh berhubung dengan pegawai penyiasat kes iaitu Inspektor Sankar atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

"Kes disiasat di bawah Sek 41(1) APJ 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan," katanya.

Sumber: Sinar Harian

#Kemalangan #Polis #Maut #Remaja #Seremban #Senawang