Ketua Pegawai Eksekutif Vida Beauty Sdn Bhd, Datuk Seri Vida disahkan bakal memberi tajaan untuk pasukan The Red Warriors untuk tahun 2016 dan 2017.

Perkara tersebut dimaklumkan sendiri oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa menerusi laman Facebook miliknya.

Menurut Annuar Musa, pihak TRW telah menerima dua syarat utama yang diminta oleh Datuk Seri Vida untuk mewarnakan stadium dengan warna merah jambu dan penamaan semula pasukan sebagai Pamoga Qu Puteh The Red Warriors.

“Alhamdullillah perbincangan resmi KAFA dan Datuk Seri Vida selesai sebentar tadi. Datuk Seri Vida telah mengemukakan 33 point/terma tambahan dan ianya telah dibincangkan. Tindakan susulan akan di ambil bersama dan Insya Allah 15/1/16 segalanya akan di formalize dalam bentuk kontrak rasmi.

“KAFA bersetuju menawarkan Datuk Seri Vida menjadi 'Penasihat Kehormat' KAFA 2016/2017 memandangkan komitmen beliau yang tinggi serta pengalaman yang luas dalam "branding & marketing". Semoga kerjasama ini memberi munafaat kepada kemajuan Bolasepak Kelantan,” tulis Annuar Musa di status akaun Facebook miliknya.

Sementara itu, Datuk Seri Vida menjelaskan beliau turut gembira kerana KAFA turut bersetuju dengan 33 lagi syarat tambahan yang dikemukakannya dalam mesyuarat tersebut.

"Dua syarat utama yang saya berikan sebelum ini bukan sekadar gimik dan mencari publisiti kerana saya mahu bawa satu anjakan dalam bola sepak Kelantan dan Malaysia," katanya.

Satu majlis menandatangani perjanjian dan sidang media berkenaan kerjasama ini akan diadakan pada 15 Januari di Kuala Lumpur.

Manakala menurut laporan Harian Metro, tajaan tersebut bernilai lebih daripada RM16 juta.

Olahan Semula: Khalid Rahman

Sumber: Astro Awani